TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Xisco Munoz akui JDT ‘kehilangan identiti’ tanpa Arif Aiman

By
|
Kongsi
image

ISKANDAR PUTERI 1 Dis – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz meluahkan rasa teruja selepas skuad Harimau Selatan mara ke final Piala FA musim ini dengan menewaskan Kuching City FC 2-0, sekali gus mencatat agregat 4-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Namun, di sebalik kemaraan itu, Muñoz mengakui beliau amat merindui sentuhan pemain bintang, Arif Aiman Hanapi, yang disifatkannya sebagai pemain terbaik di Asia ketika ini.

Menurutnya, ketiadaan Arif Aiman, 23, akibat kecederaan memberi kesan besar kepada kekuatan pasukan walaupun JDT masih mampu meraih keputusan positif.

“Ya, kami merinduinya 100 peratus. Dia pemain terbaik di Asia ketika ini. Apabila anda kehilangan pemain terbaik, normal untuk pasukan kehilangan ‘sesuatu’.

“Dia istimewa untuk semua. Dia identiti pasukan. Biasanya apabila kehilangan pemain seperti ini, pasukan pasti hilang sesuatu yang istimewa,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Arif Aiman direhatkan sejak beberapa minggu lalu susulan kecederaan yang memaksanya diketepikan daripada beberapa aksi penting.

Muñoz berkata, keutamaan kini adalah untuk membantu pemain itu pulih segera, sambil memastikan privasi pemain dan pasukan terus terjaga.

“Salah satu perkara yang perlu kami lakukan ialah membantu dia pulih secepat mungkin termasuk memberikan privasi maksimum kepada pemain dan pasukan. Kami bekerja keras untuk pastikan dia pulih dengan baik.

“Perkara positifnya, bila dia kembali nanti, kami berharap dia kembali lebih kuat. Itu paling penting untuk kami,” tegasnya.

Dalam pada itu, Muñoz enggan menghuraikan secara terperinci tahap kecederaan Arif Aiman kerana bimbang menyampaikan maklumat kurang tepat disebabkan kekangan bahasa.

“Saya tahu apa masalahnya, tetapi saya tidak mampu jelaskan dengan tepat dalam bahasa Inggeris. Lebih baik tanya doktor kelab kerana mungkin saya akan beritahu sesuatu yang tidak tepat,” katanya.

+ - reset