Berita Sukan
Media Thailand terkejut dominasi sepak takraw regu berpasukan berakhir, Malaysia raih emas bersejarah
KUALA LUMPUR 15 Dis – Peminat sepak takraw Thailand dilaporkan terkejut selepas dominasi negara itu dalam acara regu berpasukan lelaki berakhir pada temasya Sukan SEA, semalam.
Malaysia mencipta kejutan apabila menewaskan Thailand 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Nakhon Pathom, sekali gus meraih pingat emas pertama negara dalam acara itu sejak 1991.
Keputusan bersejarah itu disifatkan sebagai kekalahan mengejut oleh media Thailand, The Bangkok Post, yang mengakui kejatuhan dominasi tuan rumah selepas 34 tahun.
“Perjalanan Thailand melepasi mercu tanda 100 pingat emas dibayangi pada Ahad dengan kekalahan mengejut kepada musuh tradisi, Malaysia, pada final regu berpasukan lelaki.
“Keputusan itu secara tiba-tiba menamatkan dominasi 34 tahun tuan rumah dalam sukan ini dan mengejutkan seluruh sambutan Sukan SEA negara,” menurut laporan berkenaan.
Menurut akhbar itu lagi, kekalahan tersebut berlaku pada hari yang sepatutnya menjadi detik gemilang buat Thailand dalam carta pingat, namun bertukar menjadi kekecewaan besar di hadapan penyokong sendiri.
“Pusat Sukan Perbandaran Nakhon Pathom yang dipenuhi kira-kira 4,000 penonton menyaksikan Malaysia bangkit memenangi regu B dan C dengan keputusan 2-0, sekali gus menamatkan era dominasi Thailand sejak 1991,” lapor The Bangkok Post.
Dalam perlawanan akhir itu, Thailand terlebih dahulu memenangi regu A dengan keputusan 2-1, namun Malaysia bangkit cemerlang untuk menewaskan lawan dalam regu B dan C, menenggelamkan sorakan penyokong tuan rumah.
Prestasi tersebut mencerminkan peningkatan ketara skuad sepak takraw negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selepas turut menewaskan Thailand pada final acara regu di Piala Dunia tahun lalu serta Piala Asia tahun ini.
Bagaimanapun, kedua-dua kemenangan tersebut sebelum ini dicatatkan di Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Malaysia dianggap masih belum memiliki kekuatan mencukupi untuk mencabar Thailand dalam acara regu berpasukan, khususnya apabila beraksi di gelanggang lawan.
Namun, kejayaan di Nakhon Pathom membuktikan tanggapan itu meleset, apabila Malaysia akhirnya menamatkan dominasi panjang Thailand dan melakar sejarah baharu dalam arena sepak takraw Asia Tenggara.
Berita berkaitan
July 29, 2026, 11:20 am
Selangor pesta gol benam Ratchaburi
July 29, 2026, 10:17 am
Jaringan roket 'debut' Wan Kuzain bawa Malaysia ungguli Kumpulan B
July 27, 2026, 7:26 pm
Mohamad Aniq dapat habuan kerajaan Johor susulan emas Sukan Komanwel
July 26, 2026, 8:18 pm
Malaysia sah hos GP Bahrain Formula 1 di Litar Sepang
July 25, 2026, 8:51 pm
Piala Hyundai ASEAN: Harimau Malaya bangkit tumbangkan Myanmar
July 25, 2026, 9:55 am
Piala Hyundai ASEAN: Tiada istilah pemain lapisan kedua - Tan Cheng Hoe
July 25, 2026, 9:50 am
PM ucap tahniah lepas Aliff juara dunia pertama Malaysia di ONE Championship
July 24, 2026, 10:15 am
Jojo tolak tawaran RM100 ribu demi pertahan maruah, dedah taktik 'marketing' sampah Bob T20
July 23, 2026, 4:34 pm
