Berita Berita
Pengasuh dipenjara 5 tahun tendang paha bayi 11 bulan hingga patah
KUALA LUMPUR 16 Dis - Seorang pengasuh dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang selepas didapati bersalah mendera seorang kanak-kanak lelaki dengan menendang paha kanan mangsa hingga patah, dua tahun lepas.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu semalam terhadap Nurdiana Lanonming, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula semalam (16 Disember 2025), selain menandatangani bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan seorang penjamin serta cagaran RM2,000.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 36 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Mahkamah turut menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara.
Nurdiana didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia empat tahun 11 bulan, telah melakukan penderaan terhadap mangsa dengan menendang paha kanannya di sebuah rumah, Taman Taming Emas, Kajang pada jam 10.51 pagi, 20 Jun 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau maksimum penjara 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian ibu mangsa telah menghantar anak lelakinya ke rumah tertuduh dalam keadaan baik, boleh berjalan dan tidak mempunyai sebarang kecederaan pada kakinya.
Bagaimanapun Ibu mangsa kemudian menerima panggilan daripada tertuduh yang menyatakan kanak-kanak itu mengalami bengkak pada kaki kanan.
Ibu mangsa membawa anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan perubatan mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan patah tulang femur sebelah kanan (dalaman) dan perlu menjalani pembedahan bagi tujuan rawatan.
Berikutan itu, laporan polis telah dibuat terhadap tertuduh yang tidak mempunyai sijil tauliah sebagai pengasuh dan mangsa memberi tahu kepada ibunya serta doktor yang merawat bahawa tertuduh telah menendang kaki kanannya semasa berada dalam jagaan tertuduh.
Sebanyak lapan saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan iaitu tertuduh telah memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faelly Jeffrey Lanjungan manakala Nurdiana diwakili peguam Wan M.Razali Wan A.Kadir.
Berita berkaitan
December 18, 2025, 7:41 pm
Salji turun di Arab Saudi
December 18, 2025, 7:30 pm
Kerajaan umum tiada kenaikan kadar tol tahun depan
December 18, 2025, 7:10 pm
Mayat ditemui di rumah kosong di Rembau
December 18, 2025, 5:14 pm
Prasarana tanggung rugi RM20.6 juta akibat kecurian kabel sejak 2023
December 18, 2025, 4:15 pm
Anwar beri peringatan tegas kepada menteri baharu, tiada tempoh bulan madu
December 18, 2025, 4:04 pm
Anwar ingatkan timbalan menteri galas amanah sebaik mungkin
December 18, 2025, 3:57 pm
Warden penjara ditemui mati di ruang tamu rumah dinaiki air di Kuantan
December 18, 2025, 3:48 pm
Najib boleh jalani hukuman penjara di rumah serta-merta jika Titah Adendum memihaknya
December 18, 2025, 2:56 pm
