TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bukan lelaki sahaja, remaja perempuan bawah umur terlibat kes rogol suka sama suka akan didakwa di Mahkamah Syariah Kelantan

By
|
Kongsi
image

 

KOTA BHARU 18 Dis – Polis Kelantan akan merujuk kes rogol yang dikenal pasti berlaku secara suka sama suka membabitkan remaja perempuan berusia 16 tahun ke bawah kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) untuk tindakan lanjut di bawah Mahkamah Syariah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, langkah itu bertujuan membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap remaja perempuan bawah umur yang terlibat dalam perlakuan berkenaan.

Menurut beliau, keputusan itu dicapai hasil mesyuarat bersama Jaheaik yang diadakan kira-kira dua bulan lalu.

"Pelaksanaannya telah bermula sejurus selepas mesyuarat berkenaan.

"Langkah tersebut adalah susulan titah Tuanku Sultan Kelantan supaya kes-kes rogol yang didapati melibatkan hubungan suka sama suka diserahkan kepada pihak berkuasa agama negeri," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Menurut Mohd Yusoff, setakat ini sebanyak lima kes telah dirujuk kepada Jaheaik, namun perkara itu belum diumumkan kepada umum sebelum ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa remaja perempuan berusia 17 dan 18 tahun yang diklasifikasikan di bawah kesalahan ambang seksual Seksyen 14(a) juga akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Mengulas trend semasa, Mohd Yusoff berkata, statistik kes rogol di Kelantan menunjukkan sedikit penurunan berbanding tempoh sebelumnya.

"Kita tidak menolak kemungkinan penurunan ini berpunca daripada mangsa atau ibu bapa tidak berani untuk membuat laporan.

"Kebanyakan laporan yang diterima dari pegawai perubatan selepas mangsa di dapati hamil," katanya.

+ - reset