TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MITRA kini di bawah KESUMA berkuat kuasa serta-merta

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 27 Jan – Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kini diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang dibuat baru-baru ini.

Pertukaran penugasan itu akan dimuktamadkan menerusi proses pewartaan yang dijangka diselesaikan dalam tempoh seminggu.

MITRA ditubuhkan pada 2008 sebagai unit khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC), sebelum dijenamakan semula pada 2018 dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata meskipun sebelum ini MITRA berada di bawah seliaan JPM, tanggungjawab pemantauan dan kawal selia sebenarnya dilaksanakan oleh ahli Parlimen atau timbalan menteri dalam kalangan kaum India.

Menurutnya, isu berkaitan MITRA lazimnya dijawab oleh menteri atau timbalan menteri kaum India di Parlimen, justeru penempatan unit itu di bawah KESUMA tidak menimbulkan sebarang masalah.

“Isu utama ialah memastikan dana digunakan dengan betul dan memberi manfaat paling besar kepada masyarakat India, khususnya golongan B40,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani dan penyerahan surat pemakluman Program Dharma MADANI KESUMA di Menara PERKESO, di sini, hari ini.

Ramanan menyifatkan penugasan MITRA di bawah KESUMA sebagai tanggungjawab besar dan mengakui ia berpotensi mencetuskan konflik sekiranya pemantauan serta kawal selia tidak dilaksanakan mengikut tatakelola ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau berkata setiap program akan dilaksanakan dengan mematuhi garis panduan serta syarat yang ditetapkan, selain semua inisiatif MITRA akan diuar-uarkan melalui laman sesawang rasmi bagi memudahkan pihak berkepentingan mendapatkan maklumat.

“Ini termasuk pendedahan senarai penerima bantuan bagi tujuan semakan. Unit Komunikasi Korporat juga telah diarahkan untuk menghebahkan semua usaha ini melalui media massa,” katanya.

Terdahulu, Ramanan menyampaikan bantuan Fasa Pertama Program Dharma MADANI berjumlah RM20,000 kepada setiap 155 kuil, membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.1 juta.

+ - reset