Berita Berita
Chegubard dakwa akan dedah penyelewengan libat pimpinan kementerian dan pusat zakat
JOHOR BAHRU 27 Jan – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, mendakwa akan mendedahkan penyelewengan yang dikatakan melibatkan pimpinan tertinggi sebuah kementerian serta sebuah pusat zakat di sebuah negeri.
Chegubard berkata, pihaknya kini memiliki beberapa data dan maklumat berkaitan dakwaan berkenaan yang disifatkan penting untuk siasatan lanjut.
“Saya akan hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada jam 3 petang, Rabu ini bagi memberikan keterangan lanjut kepada pihak berkuasa.
“Saya akan dedahkan satu demi satu berkaitan pemilikan harta pimpinan kementerian dan pusat zakat terbabit,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, pada Selasa.
Terdahulu, beliau bersama peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, hadir ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru bagi pendengaran semakan jenayah melibatkan permohonan Pendakwa Raya untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen.
Mahkamah Sesyen sebelum ini membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya diberikan salinan rakaman percakapan polis milik wartawan Bloomberg, Ram Anand, berkaitan siasatan kes kasino di Forest City yang menjadi antara isu utama dalam perbicaraan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Chegubard mendakwa dirinya berdepan pelbagai bentuk intimidasi, termasuk laporan polis, susulan pendedahan terdahulu berkaitan dakwaan rasuah melibatkan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Saya bukan penguat kuasa, namun pendedahan ini dibuat bagi memastikan tindakan diambil.
“Jika tiada tekanan awam, saya bimbang isu rasuah dan salah guna kuasa ini akan terus terkubur,” katanya.
Mengulas dakwaan berhubung surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) berkaitan pendedahan sebelum ini, Chegubard menegaskan beliau masih belum menerima sebarang LOD setakat ini.
“Saya dimaklumkan ada dakwaan beberapa pihak mungkin telah memfailkan saman atau LOD, namun sehingga kini saya belum menerimanya.
“Sekiranya ada, pihak berkenaan boleh memaklumkan kepada pejabat peguam saya atau saya boleh hadir sendiri untuk menerimanya,” katanya.
Berita berkaitan
January 27, 2026, 5:18 pm
RM10 juta geran bantu 5,000 pemilik tukar kenderaan lama, fokus jenama nasional - Anthony
January 27, 2026, 3:44 pm
RM34 juta wang scam berjaya diselamatkan, RM6.7 juta dipulangkan kepada mangsa - Saifuddin
January 27, 2026, 2:56 pm
Lawatan rasmi, misi perdagangan Perdana Menteri 2025 rekod jualan eksport RM45.4 bilion
January 27, 2026, 2:18 pm
KPM pertimbang sekolah dua sesi tangani kesesakan murid bandar - PM
January 27, 2026, 2:01 pm
Lelaki ditahan bantu siasatan cebisan al-Quran dikoyak di Kuching
January 27, 2026, 1:57 pm
Dr Mahathir dilihat menikmati kopi selepas 22 hari dirawat di IJN
January 27, 2026, 1:45 pm
Penduduk Bukit Tagar lega, tak perlu fikir pasal babi lagi
January 27, 2026, 1:34 pm
Dakwaan tapak surau dijadikan kuil di PJS4 tidak benar
January 27, 2026, 1:29 pm
