TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki ditahan bantu siasatan cebisan al-Quran dikoyak di Kuching

By
|
Kongsi
image

KUCHING 27 Jan – Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung video tular berkaitan penemuan cebisan helaian al-Quran yang dikoyak di Jalan Tunku Abdul Rahman menghala ke Jalan Borneo, di sini, sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di sebuah premis makanan di sekitar Taman Green Hill pada jam 11.30 pagi, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 malam pada 23 Januari lalu, manakala dua video berkaitan insiden tersebut telah dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial di aplikasi Facebook.

“Kejadian ini turut disahkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Alexson berkata suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan perbuatannya tidak dilakukan dengan niat mencetuskan provokasi atau menyentuh isu 3R melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan kitab suci dengan niat menghina agama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Polis turut mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Logeswara Tharumalay @ Krishnan di talian 018-2914239 atau mana-mana balai polis berhampiran.

+ - reset