TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dakwaan tapak surau dijadikan kuil di PJS4 tidak benar

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 27 Jan – Kerajaan Selangor menegaskan dakwaan kononnya tapak surau diambil pemaju untuk dijadikan tapak kuil di kawasan pencerobohan tanah perkuburan Islam PJS4 adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, berkata semakan bersama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan tapak yang didakwa sebagai ‘tapak ganti’ itu sememangnya dizonkan sebagai Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) dan tidak pernah dicadangkan sebagai tapak surau.

Menurutnya, dakwaan yang dibuat menerusi satu hantaran Facebook bertarikh 23 Januari lalu telah mencetuskan persepsi salah sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Persepsi seolah-olah wujud tapak surau yang diambil pemaju untuk dijadikan tapak kuil India adalah tidak benar sama sekali. Komen-komen netizen jelas menunjukkan kegusaran akibat maklumat yang tidak tepat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohammad Fahmi menjelaskan tapak RIBI berkenaan bukan tapak ganti kepada pencerobohan kuil, selain tidak pernah menjadi tapak surau yang ditukar fungsi.

Sebaliknya, katanya, tapak itu masih perlu dipohon secara rasmi oleh pihak kuil kepada MBPJ dan PDT Petaling serta tertakluk kepada kelulusan agensi berkaitan sekiranya ingin digunakan secara sah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan negeri sudah mempunyai perancangan, tindakan serta garis masa khusus bagi merobohkan binaan tidak sah di kawasan perkuburan Islam berkenaan.

Menurutnya, kerja-kerja berkaitan tapak perkuburan yang tertangguh dijangka dapat dimulakan seawal Jun depan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Beliau turut meminta semua pihak, sama ada Islam atau bukan Islam, supaya bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan sentimen perkauman.

“Biarlah agensi terlibat menjalankan tugas secara cermat dan teratur berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Terdahulu, seorang pemilik akaun media sosial mendakwa menerusi ruangan komen pada satu hantaran Facebook bahawa tapak surau telah ditukar menjadi tapak kuil di kawasan berkenaan, selain memuat naik kenyataan berbentuk sindiran berhubung perobohan yang dijadualkan pada 31 Mac.

+ - reset