Berita Berita
Mahkamah Rayuan arah LHDN bayar balik RM15.67 juta kepada Petronas
PUTRAJAYA 29 Jan – Mahkamah Rayuan pada Khamis memerintahkan Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membayar balik sejumlah RM15.672 juta kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam tempoh enam bulan bermula hari ini, berhubung lebihan cukai bagi tahun taksiran 2010.
Lebihan cukai itu berpunca daripada penolakan perbelanjaan berkaitan kos pejabat Petronas di luar negara bagi tahun berkenaan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk P. Ravinthran, Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Nadzarin Wok Nordin selepas membenarkan rayuan yang dikemukakan syarikat minyak dan gas nasional itu.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perbelanjaan berkaitan pejabat Petronas di Sudan dan Vietnam tidak boleh ditolak di bawah Seksyen 15(1) Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967.
Bagaimanapun, ketika menyampaikan keputusan Mahkamah Rayuan, Wong berkata Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) telah terkhilaf apabila memutuskan Petronas tidak berhak menolak perbelanjaan berkenaan.
Beliau berkata, penyata cukai bagi tahun 2010 telah difailkan dalam tempoh ditetapkan dan Petronas juga telah membayar sepenuhnya cukai yang perlu dibayar kepada Ketua Pengarah LHDN mengikut garis masa yang ditentukan.
Menurutnya, mahkamah turut menolak hujah Ketua Pengarah LHDN bahawa Petronas cuai dalam mengemukakan penyata cukai tersebut.
“Malah, sekiranya wujud kecuaian sekali pun, Mahkamah Tinggi dan PKCP telah tersilap dari segi undang-undang kerana gagal menentukan sama ada kecuaian itu menyebabkan kerugian cukai,” katanya.
Wong berkata, perbelanjaan pejabat luar negara itu sememangnya dibelanjakan oleh Petronas di luar Malaysia dan sepatutnya dipertimbangkan sewajarnya.
“Berdasarkan kesilapan undang-undang yang dikenal pasti, Ketua Pengarah LHDN dihalang oleh Seksyen 39(1) Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 daripada mengeluarkan Borang JA (taksiran tambahan) dan borang tersebut diketepikan,” katanya.
Mahkamah seterusnya mengarahkan Ketua Pengarah LHDN membayar semula RM11,392,044 dan RM4,280,556 kepada Petronas dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.
Dengan persetujuan kedua-dua pihak, mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah kos bagi rayuan ini, prosiding di Mahkamah Tinggi dan juga di hadapan PKCP.
Pada prosiding itu, Petronas diwakili peguam S. Saravanan Kumar dan Nur Amira Ahmad Azhar, manakala Ketua Pengarah LHDN diwakili Peguam Kanan Hasil Ashrina Ramzan Ali serta Peguam Hasil Nik Amyrah Syarinie Mohd Dusuki.
Berita berkaitan
January 29, 2026, 8:59 pm
SPRM tahan dua pegawai tertinggi JAS disyaki terlibat kes e-waste
January 29, 2026, 8:51 pm
Wan Ahmad Fayshal gesa Muhyiddin berundur sebagai Presiden Bersatu
January 29, 2026, 8:45 pm
Restoran di Teluk Intan guna kalimah al-Quran tanpa perakuan halal
January 29, 2026, 4:38 pm
Mahkamah Tinggi arah Chegubard, pempengaruh bayar RM550,000 kepada Farhash
January 29, 2026, 4:33 pm
Sekolah agama JAIS diselaras dengan dasar pendidikan kebangsaan
January 29, 2026, 4:21 pm
Kepercayaan rakyat terhadap ATM perlu dibina melalui integriti, bukan hanya slogan – Anwar
January 29, 2026, 3:15 pm
