Berita Berita
Restoran di Teluk Intan guna kalimah al-Quran tanpa perakuan halal
TELUK INTAN 29 Jan – Sebuah restoran di sini didapati menggantung ayat al-Quran dan kalimah Allah pada dinding premis bagi melambangkan status halal, namun menggunakan khidmat pekerja bukan beragama Islam termasuk sebagai tukang masak.
Perkara itu terbongkar hasil serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Teluk Intan pada Rabu.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan mendapati pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen perakuan halal atau pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurutnya, pemilik restoran terbabit turut menggunakan logo halal tidak sah dalam iklan perniagaan selain membuat representasi takrif halal melalui penggunaan kalimah Allah dan ayat suci al-Quran.
“Premis ini menggunakan sepenuhnya dua pekerja bukan beragama Islam dalam penyediaan makanan dan minuman termasuk sebagai tukang masak.
“Susulan itu, pemilik telah ditahan untuk diambil keterangan dan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata, pihaknya turut menyita beberapa barangan bernilai kira-kira RM500, termasuk dua set hiasan kalimah Allah dan Muhammad, hiasan dinding ayat al-Quran, salinan lesen Majlis Perbandaran Teluk Intan serta salinan pendaftaran perniagaan syarikat.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
“KPDN memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap peniaga yang menggunakan takrif halal atau logo halal tidak sah kerana ia boleh memperdaya dan mengelirukan pengguna, khususnya umat Islam,” katanya.
Berita berkaitan
January 29, 2026, 8:59 pm
SPRM tahan dua pegawai tertinggi JAS disyaki terlibat kes e-waste
January 29, 2026, 8:51 pm
Wan Ahmad Fayshal gesa Muhyiddin berundur sebagai Presiden Bersatu
January 29, 2026, 8:38 pm
Mahkamah Rayuan arah LHDN bayar balik RM15.67 juta kepada Petronas
January 29, 2026, 4:38 pm
Mahkamah Tinggi arah Chegubard, pempengaruh bayar RM550,000 kepada Farhash
January 29, 2026, 4:33 pm
Sekolah agama JAIS diselaras dengan dasar pendidikan kebangsaan
January 29, 2026, 4:21 pm
Kepercayaan rakyat terhadap ATM perlu dibina melalui integriti, bukan hanya slogan – Anwar
January 29, 2026, 3:15 pm
