TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wan Ahmad Fayshal gesa Muhyiddin berundur sebagai Presiden Bersatu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 29 Jan – Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa berundur secara terhormat daripada jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan penafian Pas terhadap pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) seperti terkandung dalam satu surat sebelum ini.

Gesaan itu disuarakan Ahli Majlis Pimpinan Bersatu yang digantung, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, yang menyatakan kekecewaan terhadap tindakan Muhyiddin kerana didakwa mencemarkan imej PN di mata rakyat serta merosakkan hubungan Bersatu dengan parti komponen lain, khususnya Pas.

Menurut beliau, sebagai Presiden Bersatu, Muhyiddin tidak akan dikenakan sebarang tindakan oleh Lembaga Disiplin berhubung keputusan dan tindakannya.

Bagaimanapun, katanya, demi kepentingan parti dan rakan komponen dalam PN, Muhyiddin seharusnya mengambil tanggungjawab moral untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap Bersatu dan gabungan itu.

“Maka, saya sekali lagi memohon dengan penuh rasa tanggungjawab agar YB Tan Sri Muhyiddin berundur secara terhormat sebagai Presiden Bersatu demi kelangsungan Bersatu dan PN.

“Tan Sri Muhyiddin perlu meletakkan jawatan dengan segera,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Wan Ahmad Fayshal turut mendakwa surat jawapan balas berkenaan membuktikan bahawa Muhyiddin telah menyimpang daripada perkara yang dipersetujui bersama, sekali gus menjejaskan kepercayaan dalam kalangan rakan komponen PN.

+ - reset