Berita Politik
PAS nafi solo PRU16, beri isyarat mahu kukuhkan Perikatan Nasional
KUALA TERENGGANU 4 Feb – Pas menafikan spekulasi bahawa parti itu akan bergerak secara bersendirian pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebaliknya menegaskan komitmen penuh untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendirian tersebut adalah keputusan jelas kepimpinan tertinggi Pas yang melihat pengukuhan hubungan sesama rakan gabungan sebagai keutamaan ketika ini.
“Buat masa sekarang tidak timbul Pas bergerak secara solo. Kita sentiasa memberi komitmen dan kepimpinan tertinggi juga telah menyatakan bahawa perkara paling utama sekarang ialah mengukuhkan PN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Yayasan Terengganu dan Batik Air di Wisma Darul Iman, di sini, pada Rabu.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, parti itu menyedari realiti politik semasa negara dan berpendirian untuk terus memperkukuhkan gabungan PN sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Mengulas isu konflik kepimpinan dalam PN, beliau berkata perkara tersebut dijangka dapat diselesaikan menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan diadakan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, apabila mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan, perkara ini dapat diselesaikan. Namun saya sendiri tidak pasti bila mesyuarat itu akan berlangsung,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri mengakui tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung ura-ura pelantikan individu tertentu termasuk dirinya sebagai Pengerusi PN.
“Saya tidak tahu kerana saya bukan lagi ahli mesyuarat. Apabila sampai waktu dan ketika, kita akan lihat bagaimana keputusannya,” jelas beliau.
Sebelum ini, media melaporkan pemimpin PN mengadakan pertemuan di kediaman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, susulan pembatalan mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN pada saat akhir.
Bagaimanapun, tiada wakil Pas termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir pada pertemuan tersebut, sebaliknya Pas mengadakan permukiman parti selama tiga hari bermula Jumaat lalu.
Permukiman itu dipercayai membincangkan hala tuju kerjasama bersama rakan komponen PN serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU16.
Berita berkaitan
April 2, 2026, 3:14 pm
MIC akan rujuk semula akar umbi susulan perubahan kepimpinan PN - Vigneswaran
March 26, 2026, 1:37 pm
Zambry hargai pendirian MIC kekal bersama BN
March 25, 2026, 4:11 pm
MIC kekal bersama BN buat masa ini - Saravanan
March 19, 2026, 10:36 am
Che’gu Bard dipecat daripada BERSATU
March 17, 2026, 2:21 pm
MIC belum mohon sertai PN, status dalam BN masih belum diputuskan
March 16, 2026, 8:42 pm
Kemasukan semula Khairy ke dalam UMNO dijangka tidak ambil masa lama
March 16, 2026, 5:45 pm
Pelantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang pilihan Pas selepas PRU15
March 11, 2026, 6:49 pm
Sanusi sifatkan cadangan Rumah Bangsa Malaysia usaha UMNO kukuh kedudukan
March 10, 2026, 4:30 pm
Mas Ermieyati digantung keahlian Bersatu selama enam tahun
March 7, 2026, 11:08 am
