Berita Politik
'DAP pun banyak tolak kerjasama dengan parti lain' - MCA pertahan Onn Hafiz, tiada unsur perkauman
KUALA LUMPUR 9 Jun – Polemik berhubung kenyataan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi yang menolak kerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang terus menjadi perdebatan apabila beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) tampil mempertahankan pendirian beliau.
Presiden MCA, Wee Ka Siong menegaskan keputusan BN Johor untuk bergerak secara solo pada PRN akan datang adalah keputusan politik yang matang dan tidak wajar ditafsirkan sebagai tindakan berbaur perkauman.
Menurut beliau, tuduhan bahawa Onn Hafiz bersikap rasis hanya kerana mahu BN Johor bertanding tanpa kerjasama dengan DAP adalah tidak adil serta tidak berasaskan realiti politik.
“BN Johor bergerak solo bukan tindakan rasis. Itu keputusan politik oleh gabungan negeri yang sudah ada mandat sendiri, rekod sendiri dan tanggungjawab sendiri kepada rakyat Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan yang dilontarkan oleh ahli akademik, Tajuddin Rasdi yang menyifatkan pendirian Onn Hafiz sebagai mencerminkan sikap perkauman.
Mengulas lanjut, Wee berkata penolakan terhadap DAP tidak seharusnya disamakan dengan penolakan terhadap sesuatu kaum kerana DAP merupakan sebuah parti politik dan bukannya mewakili mana-mana etnik.
“Jika menolak DAP dianggap rasis, maka adakah penolakan DAP terhadap MCA, UMNO, MIC, PAS atau Bersatu selama ini juga boleh dianggap rasis? Sudah tentu tidak. Itu adalah perbezaan politik,” katanya.
Beliau turut mempertahankan rekod pentadbiran Onn Hafiz di Johor dengan menyifatkan Menteri Besar itu sebagai pemimpin yang mengamalkan pendekatan inklusif menerusi konsep Bangsa Johor.
Sementara itu, bekas Presiden MCA, Chua Soi Lek berkata kenyataan Onn Hafiz perlu dilihat dalam konteks penuh dan bukannya dipetik secara terasing.
Menurut beliau, mesej utama yang cuba disampaikan ialah BN Johor mahu bertanding secara bersendirian berdasarkan kehendak akar umbi dan sanggup menjadi pembangkang sekiranya gagal memperoleh majoriti selepas pilihan raya.
“Lebih penting ialah konteks kenyataan itu dibuat. Beliau menyatakan BN mahu bergerak solo dan tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya tidak mendapat majoriti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Veteran UMNO, Mustapha Yaakub menegaskan UMNO tidak pernah menafikan hak mana-mana kaum untuk menyertai pilihan raya atau terlibat dalam pentadbiran negara.
Sebaliknya, beliau berkata pendirian parti itu hanya melibatkan penolakan terhadap DAP sebagai sebuah parti politik dan bukannya terhadap masyarakat Cina atau kaum lain.
“UMNO tidak pernah menafikan hak kaum dan bangsa lain untuk bertanding dalam pilihan raya. Sejak zaman Perikatan, UMNO bekerjasama dengan MCA dan MIC, manakala pada era Barisan Nasional pula kerjasama diperluaskan kepada pelbagai parti dari Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurut Mustapha, pengalaman kerjasama antara UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan tidak semestinya bermaksud kedua-dua parti perlu bekerjasama dalam setiap pilihan raya negeri.
Katanya, pendirian UMNO Johor untuk tidak bekerjasama dengan DAP adalah keputusan politik yang dibuat berdasarkan penilaian serta pengalaman semasa.
Isu berkenaan tercetus selepas Onn Hafiz menyatakan beliau lebih rela melepaskan jawatan Menteri Besar daripada perlu “duduk semeja” dengan DAP selepas PRN akan datang, kenyataan yang kemudiannya mengundang kritikan daripada beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang menyifatkannya sebagai bercanggah dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
Berita berkaitan
June 9, 2026, 3:06 pm
Isu Pas-Bersatu: Tun Faisal bidas Ahmad Fadhli, Afnan Hamimi; selar sikap hipokrit
June 8, 2026, 11:55 pm
PAS putus kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta
June 8, 2026, 12:23 pm
400 pegawai kanan kerajaan sertai Bersama, umum tanding PRN Melaka Ogos ini - Rafizi
June 8, 2026, 12:00 pm
Onn Hafiz tegas BN Johor bergerak sendiri, tiada kerjasama dengan DAP
June 7, 2026, 11:58 pm
Ahmad Zahid restu BN Johor bertanding solo di semua 56 kerusi
June 5, 2026, 12:13 pm
Muhyiddin tidak bertanding PRN Johor, Bersatu taruh harapan pada pemimpin tempatan
June 3, 2026, 11:55 am
