Berita Politik
BERSAMA bukan parti 'orang merajuk', 75% ahli tiada kaitan dengan PKR — Rafizi
IPOH 15 Jun – Pengerusi Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan bahawa sebanyak 75 peratus daripada lebih 20,000 keanggotaan parti itu merupakan individu yang tidak pernah mempunyai sebarang kaitan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menepis tohmahan pihak tertentu yang mendakwa parti baharu yang dilancarkan pada 17 Mei lalu itu hanyalah sekadar sebuah wadah buat sekumpulan bekas ahli PKR yang membawa diri akibat 'merajuk'.
“Sampai sekarang yang mengkritik Bersama ini ada dua tiga serangan sahaja. Satu dia kata ini parti orang merajuk. Dia tidak sedar sebenarnya 75 peratus daripada ahli Bersama ini tidak pernah kena-mengena dengan PKR,” katanya ketika menyampaikan ceramah di sini, malam tadi.
Beliau mendakwa landskap politik tanah air ketika ini terlalu didominasi oleh golongan veteran, sekali gus menyukarkan kelompok muda yang berbakat untuk menonjolkan diri dan mendapat tempat dalam struktur kepimpinan utama negara.
Rafizi turut membayangkan masa depan negara akan berdepan dengan situasi yang buruk sekiranya tampuk kepimpinan tertinggi terus dipegang oleh individu berumur lanjut yang tidak lagi memahami keperluan serta aspirasi generasi muda.
Mengulas mengenai keberaniannya menubuhkan parti solo ini, beliau menyamakan tindakan tersebut sebagai satu misi 'kamikaze' (berani mati) demi membawa perubahan struktur, di mana pendekatan drastik sedemikian bukanlah sesuatu yang asing dalam kamus politik beliau.
Beliau mengimbas kembali pengalamannya yang sanggup mengambil risiko besar berkempen ke seluruh pelosok negara demi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
“Kalau fikir tentang diri sendiri saya sahaja, saya pergi jumpa Najib. Anwar Ibrahim pun duduk dalam penjara (ketika itu). Kalau fikir pasal diri saya dan tidak kamikaze, tidaklah saya berkempen satu Malaysia untuk mengalahkan UMNO, BN dan Najib. Bukankah lebih mudah kalau saya lebih awal pergi jumpa Najib, kita ‘kawtim’ jangan sentuh 1MDB? Tetapi saya kamikaze (lawan) dari dahulu,” katanya.
Menyentuh mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, beliau menyatakan bahawa Bersama kini sedang giat menyusun strategi dalaman dan hanya akan membuat pengumuman rasmi mengenai pembahagian kerusi serta calon apabila tiba masa yang sesuai kelak.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 8:39 am
Isu kerusi MCA selesai secara harmoni, BN Melaka fokus pertahan 21 kawasan
October 28, 2026, 6:17 pm
MCA akur peruntukan dua kerusi PRN Melaka, jamin representasi kaum Cina diteruskan
October 27, 2026, 5:27 pm
MCA gesa BN runding semula agihan kerusi PRN
October 21, 2026, 12:17 pm
Bersatu gantung keahlian MB Perlis
October 18, 2026, 4:18 pm
Kemelut politik Negeri Sembilan tak beri kesan pada BN hadapi PRN Melaka
October 17, 2026, 6:23 pm
Nik Nazmi direhatkan 3 bulan daripada aktiviti rasmi BERSAMA
October 17, 2026, 1:42 pm
PAS terima hakikat BN bakal memimpin di Melaka
October 16, 2026, 9:54 am
PAS utamakan rundingan bersama UMNO, BN hadapi PRU16
October 7, 2026, 9:35 am
PAS Melaka nafi senarai tular calon empat kerusi DUN bagi PRN Melaka
September 29, 2026, 4:35 pm
