Berita Berita
Anwar yakin ekonomi negara terus kukuh jika reformasi dan integriti terus dipertahan
KUALA LUMPUR 5 Feb - Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan bahawa Malaysia akan terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang positif, berdaya tahan dan inklusif sekiranya reformasi dilaksanakan secara konsisten serta integriti terus dipelihara tanpa kompromi.
Perdana Menteri berkata, kedudukan ekonomi negara kini semakin kukuh dengan pemulihan keyakinan pelabur, hasil pengurusan fiskal berdisiplin dan pembaharuan serius dalam tadbir urus.
Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, pencapaian itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha Kerajaan MADANI memulihkan kepercayaan terhadap kewangan awam, mengembalikan kredibiliti institusi serta menegakkan prinsip integriti dalam pentadbiran.
“Kepercayaan ini sedang dibina semula kerana Kerajaan MADANI mengambil pendirian yang jelas dan berprinsip, termasuk pendirian tegas tanpa toleransi terhadap rasuah dan tanpa pengecualian kepada mana-mana pihak.
“Tanpa akauntabiliti, tiada kredibiliti dan tanpa kredibiliti, pertumbuhan mampan tidak mungkin dicapai,” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Malaysia 2026, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Anwar menegaskan, usaha memperkukuh institusi diteruskan supaya integriti tidak bergantung kepada individu, sebaliknya diperkasakan melalui sistem yang berfungsi merentas kitaran politik.
Katanya, pendekatan itu mula menunjukkan hasil apabila pelabur memberi maklum balas positif terhadap konsistensi dasar dan kebolehjangkaan ekonomi negara, sekali gus mengurangkan persepsi risiko pelaburan di Malaysia.
Pada masa sama, beliau menekankan bahawa keyakinan ekonomi perlu diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dalam menangani tekanan kos sara hidup.
“Pertumbuhan hanya bermakna jika ia benar-benar meningkatkan taraf hidup, melindungi kuasa beli rakyat serta membuka peluang pendidikan, pekerjaan bermaruah dan mobiliti sosial,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan pendidikan kekal sebagai teras pembangunan negara bagi memenuhi keperluan pasaran buruh yang sedang berubah, termasuk melalui pembaharuan kemahiran dan sokongan kepada pekerja di setiap fasa kehidupan.
Beliau berkata, perkembangan teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI) menuntut kesiapsiagaan segera kerana ia bakal membentuk semula landskap pekerjaan dan industri.
“Persoalannya bukan sama ada perubahan akan berlaku, tetapi sama ada kita bersedia menghadapinya. Sama ada teknologi memperluas peluang atau meningkatkan jurang ketidaksamaan bergantung kepada pilihan yang kita buat hari ini,” katanya.
Berita berkaitan
February 5, 2026, 9:36 pm
6 murid di Kota Tinggi disahkan hidap tibi, tiada arahan tutup sekolah setakat ini
February 5, 2026, 9:36 pm
Keselamatan makin tegang: Malaysia nasihat rakyat tangguh ke Iran, bersiap sedia pulang
February 5, 2026, 9:09 pm
Kenderaan berat dilarang berada atas lebuh raya sempena Tahun Baharu Cina - JPJ
February 5, 2026, 9:08 pm
Legenda Sang Penyu pergi selamanya: Zulharisam Awang, wira Piala Malaysia 2001 meninggal dunia
February 5, 2026, 9:02 pm
Tragis, lelaki maut dipercayai terjatuh dari pokok petai
February 5, 2026, 8:55 pm
Pemandu terlelap, Toyota Vios rempuh pagar sekolah awal pagi
February 5, 2026, 8:53 pm
Polis beri amaran jangan sentuh isu 3R ketika Himpunan Anti Rumah Anutan Haram
February 5, 2026, 8:15 pm
Satu sen tak sentuh, keluarga Altantuya pulangkan semula RM4.8 juta kepada kerajaan
February 5, 2026, 6:02 pm
