TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

6 murid di Kota Tinggi disahkan hidap tibi, tiada arahan tutup sekolah setakat ini

By
|
Kongsi
image

 

KOTA TINGGI 5 Feb -  Kerajaan Johor mengesahkan tiada arahan penutupan sekolah dikeluarkan susulan penularan wabak tuberkulosis (tibi) di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, berdasarkan pengesahan Kementerian Kesihatan (KKM), enam kes membabitkan murid sekolah telah dikesan hasil saringan kontak rapat, termasuk dua murid perempuan.

“Kerajaan negeri mengambil maklum penularan penyakit tibi yang membabitkan murid sekolah di Kota Tinggi.

“Semua murid terlibat telah diarahkan menjalani kuarantin serta menerima rawatan sewajarnya dan kini berada di bawah pemantauan rapi KKM mengikut prosedur kesihatan ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi sejak 25 Januari lalu, dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat.

Beliau turut mengesahkan satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus dilaporkan berkata rutin harian di lokaliti terlibat berjalan seperti biasa, dengan orang ramai dinasihatkan supaya terus menjaga kebersihan diri serta memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan.

Menurutnya, kluster berkenaan membabitkan lokaliti FELDA Sungai Mas, Bandar Mas dan FELDA Papan Timur, dan keadaan di semua kawasan itu masih terkawal setakat ini.

Aznan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi turut turun padang ke sekolah-sekolah terlibat bagi mengadakan sesi perjumpaan dan penerangan bersama pihak pengurusan sekolah.

Katanya, sesi berkenaan bertujuan memberi penjelasan mengenai penyakit tibi serta langkah pencegahan yang perlu diambil oleh pihak sekolah, murid dan ibu bapa.

“Semua sekolah juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi garis panduan dan arahan yang dikeluarkan KKM, termasuk aspek kebersihan, pemantauan kesihatan murid dan tindakan susulan yang disarankan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berita palsu berkaitan isu itu kerana boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, kerajaan Johor kekal komited memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah terus terpelihara menerusi kerjasama berterusan dengan KKM dan semua pihak berkaitan.

+ - reset