TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Keselamatan makin tegang: Malaysia nasihat rakyat tangguh ke Iran, bersiap sedia pulang

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 5 Feb – Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri menasihatkan semua warganegara Malaysia menangguhkan perjalanan tidak penting ke Iran susulan situasi keselamatan di negara itu yang dilaporkan masih tidak menentu dan berisiko.

Menurut kenyataan media Wisma Putra bertarikh 5 Februari 2026, nasihat perjalanan itu dikeluarkan susulan kemas kini terkini tahap keselamatan di Iran, selain mengambil kira pemakluman terdahulu yang dibuat pada 11 Januari lalu.

Dalam kenyataan sama, kementerian turut menggesa rakyat Malaysia yang kini berada di Iran supaya mempertimbangkan langkah membuat aturan perjalanan keluar menggunakan perkhidmatan komersial yang masih beroperasi.

“Bagi warganegara Malaysia yang memilih untuk terus berada di Iran, mereka dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan perhimpunan awam berskala besar serta mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Wisma Putra turut memaklumkan bahawa bantuan konsular boleh diperoleh dengan menghubungi Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri di talian +603-8887 4597, +603-8887 4769 atau +603-8887 4264 pada waktu pejabat, serta melalui e-mel bkrm@kln.gov.my.

Bagi situasi kecemasan di luar waktu pejabat, rakyat Malaysia boleh menghubungi talian +603-8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Kementerian itu turut menegaskan akan terus memantau perkembangan keselamatan di Iran secara rapat dan akan menyalurkan maklumat terkini kepada rakyat Malaysia sekiranya terdapat perubahan penting.

+ - reset