TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Legenda Sang Penyu pergi selamanya: Zulharisam Awang, wira Piala Malaysia 2001 meninggal dunia

By
|
Kongsi
image

KUALA NERUS – Dunia bola sepak Terengganu berdukacita dengan pemergian bekas kapten skuad Sang Penyu, Zulharisam Awang, yang meninggal dunia di kediamannya di Kampung Wakaf Baharu, di sini, hari ini.

Allahyarham yang berusia 51 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.20 petang selepas sekian lama bertarung dengan penyakit kanser hati.

Jurucakap Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memaklumkan, sebelum itu Zulharisam telah dikejarkan ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) sekitar jam 1 tengah hari akibat penurunan paras oksigen.

“Allahyarham ketika hayat berkhidmat sebagai Pembantu Operasi di Pusat Sukan dan Rekreasi UniSZA serta meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak,” katanya.

Zulharisam merupakan tonggak pertahanan kental dan kapten pasukan Terengganu yang mencipta sejarah apabila memimpin skuad Sang Penyu menjulang Piala Malaysia 2001, selepas menewaskan Perak 2–1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selepas bersara sebagai pemain, Allahyarham terus menabur bakti dalam arena sukan negeri dengan membimbing pasukan UniSZA dalam Liga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta beberapa liga tempatan, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi muda bola sepak Terengganu.

Pemergian Zulharisam dianggap kehilangan besar buat keluarga, rakan seperjuangan serta seluruh peminat bola sepak negeri Terengganu.

+ - reset