Berita Berita
Forum CEO Malaysia–India fokus integrasi teknologi dan AI dalam hubungan perniagaan serantau
KUALA LUMPUR 7 Feb – Hubungan ekonomi dan perniagaan antara Malaysia dan India terus diperkukuh menerusi penganjuran Mesyuarat ke-10 Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia–India yang menghimpunkan pemimpin industri dari kedua-dua negara.
Forum berkenaan menilai kemajuan hubungan ekonomi dua hala serta merangka cadangan strategik bagi memperluas kerjasama perdagangan, pelaburan dan industri seiring perubahan landskap ekonomi global.
Majlis perasmian forum disempurnakan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, yang menegaskan kerjasama Malaysia–India kini beralih daripada perdagangan tradisional kepada pakatan berasaskan ekonomi digital dan teknologi masa depan.
Menurut beliau, nilai dagangan dua hala Malaysia–India kekal kukuh pada AS$18.2 bilion dan terus dipacu oleh Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia–India (MICECA).
“Pemacu sebenar pertumbuhan masa depan kita bukan lagi bergantung kepada barangan fizikal semata-mata, sebaliknya kepada perisian, perkhidmatan dan platform digital. Justeru, kerjasama antara kedua-dua negara perlu mencerminkan realiti Revolusi Industri Keempat dengan memberi tumpuan kepada integrasi berteknologi tinggi serta sinergi digital,” katanya.
Forum itu disokong oleh Malaysia India Business Council (MIBC) sebagai sekretariat Malaysia dan Confederation of Indian Industry (CII) sebagai sekretariat India, dengan fokus memperkukuh hubungan perniagaan dan kerjasama industri.
Perbincangan turut menekankan keperluan memodenkan MICECA yang berkuat kuasa sejak Julai 2011 supaya sejajar dengan keutamaan abad ke-21, termasuk perdagangan digital, rantaian bekalan berdaya tahan dan perkhidmatan berteknologi tinggi.
Antara cadangan utama ialah peluasan liputan perjanjian kepada sektor teknologi kewangan (fintech), tenaga boleh diperbaharui dan penjagaan kesihatan, selain penambahbaikan peraturan asal, pemudahan prosedur kastam serta peningkatan kesalinghubungan melalui penerbangan dan laluan perkapalan terus.
Forum turut memberi penekanan terhadap kerjasama dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan penubuhan Majlis Digital Malaysia–India (MIDC) pada 2024 yang berperanan sebagai platform strategik mempercepat pelaksanaan kerjasama teknologi dua hala.
Sektor semikonduktor turut dikenal pasti sebagai antara bidang berpotensi tinggi, dengan India menyasarkan nilai pasaran antara AS$100 hingga AS$110 bilion menjelang 2030, manakala Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama global dalam proses pemasangan dan ujian cip.
Selain itu, bidang penjagaan kesihatan, pembangunan kemahiran dan pendidikan, infrastruktur, fintech serta teknologi generasi baharu seperti 5G dan keselamatan siber turut menjadi antara fokus perbincangan.
Forum berkenaan turut mengiktiraf peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif kedua-dua negara menerusi inisiatif diplomasi ekonomi dan kerjasama digital.
Forum CEO Malaysia–India menegaskan komitmen untuk meneruskan dialog berstruktur melalui penubuhan kumpulan kerja sektor utama bagi memastikan kerjasama ekonomi dua hala dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada industri dan rakyat kedua-dua negara.
Berita berkaitan
February 7, 2026, 3:07 pm
Kelantan jangka masalah air selesai menjelang 2050
February 7, 2026, 2:47 pm
'Tahan, humban mereka yang gugat keselamatan negara' - Anwar
February 7, 2026, 11:16 am
Polis tidak benarkan Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram di Sogo atas faktor keselamatan
February 6, 2026, 9:59 pm
Bapa OKU sembilan anak didakwa 3 pertuduhan amang seksual anak perempuan bawah umur
February 6, 2026, 5:35 pm
Polis tumpas sindiket dadah laluan Kelantan–Lembah Klang, rampasan dadah bernilai RM13.25 juta
February 6, 2026, 5:20 pm
'Jangan ikut tabiat PAS, semua dia lakukan halal, bila orang lain buat dianggap haram’ – Nga Kor Ming
February 6, 2026, 5:13 pm
Nik Nazmi sindir Takiyuddin ‘guna ilmu kasyaf’ isu pilihan raya Datuk Bandar KL
February 6, 2026, 5:08 pm
