Berita Politik
Tolak pelawaan 'Rumah Bangsa', Isham tidak akan sertai UMNO semula selagi kerjasama dengan DAP
KUALA LUMPUR 7 Mac – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menolak pelawaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menyertai parti itu menerusi inisiatif ‘Rumah Bangsa’.
Isham yang dipecat daripada UMNO pada 2023 berkata, beliau tidak berminat untuk menyertai gagasan tersebut kerana ia masih berada dalam kerangka Kerajaan MADANI yang melibatkan kerjasama UMNO dengan DAP.
Pendiriannya itu berbeza dengan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang sebelum ini secara terbuka menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti berkenaan melalui agenda sama.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, Isham turut menyarankan agar Ahmad Zahid bertemu terlebih dahulu dengan pemimpin UMNO yang pernah dipecat atau digantung sebelum ini serta memohon maaf kepada mereka.
Beliau turut menyebut beberapa nama pemimpin yang pernah dikenakan tindakan parti termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Khairy Jamaluddin serta bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
“Minta maaf kepada mereka sebelum jemput mereka masuk UMNO semula jika mereka mahu. Bagi saya, tidak perlu jemput atau datang jumpa saya sebab saya sudah beberapa kali beritahu yang selagi dia bekerjasama dengan DAP saya tidak akan masuk.
“Titik. Tidak perlulah tanya saya banyak kali soalan ini kerana jawapan saya tetap sama,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa sebarang syarat.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut memaklumkan bahawa pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ terbuka kepada mana-mana individu yang ingin bersama perjuangan UMNO.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menjadi antara individu terawal menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO melalui agenda tersebut.
Menerusi petikan audio siar ‘Keluar Sekejap’, beliau turut mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar untuk menyediakan draf surat permohonan bagi tujuan itu.
Isham dipecat daripada UMNO pada 6 Disember 2023 selepas mesyuarat MKT susulan tindakannya yang sering mengkritik parti secara terbuka, termasuk membantah kerjasama dengan DAP selain tidak menghadiri beberapa mesyuarat MKT.
Dalam masa sama, Isham menegaskan Ahmad Zahid perlu merendahkan ego dan bertemu sendiri dengan pemimpin yang dipecat atau digantung sekiranya benar-benar ikhlas mahu mereka kembali ke dalam parti.
“Dia perlu turunkan ego dan pergi jumpa mereka yang dipecat dan gantung itu dan minta maaf kepada mereka, bukan suruh orang-orang yang dipecat dan gantung itu pergi menghadapnya,” katanya.
Beliau turut mendakwa UMNO sukar menarik sokongan parti-parti Melayu lain untuk menyertai ‘Rumah Bangsa’ selagi parti itu masih menyokong DAP dalam kerajaan.
Menurutnya, UMNO juga perlu berdepan kesan daripada keputusan bekerjasama dengan parti tersebut dan mungkin berdepan cabaran besar pada pilihan raya akan datang.
Isham turut menyifatkan UMNO telah menggadai maruah untuk mendapatkan jawatan bersama DAP dan kini parti itu perlu membayar kifarah.
“Mereka tidak boleh harapkan rakyat untuk percaya mereka lagi dengan mengubah haluan kononnya untuk penyatuan setiba musim pilihan raya,” tambahnya.
Berita berkaitan
March 6, 2026, 11:42 am
Ambil berkat Ramadan, UMNO buka pintu kepada bekas ahli tanpa sebarang syarat - Ahmad Zahid
February 13, 2026, 8:35 pm
Saifuddin persoal motif pemecatan Hamzah dalam Bersatu
February 9, 2026, 11:32 am
“Nak pecat, pecat betul-betul” – Wan Fayhsal cabar Bersatu berhenti berdrama isu Hamzah
February 4, 2026, 2:18 pm
PAS nafi solo PRU16, beri isyarat mahu kukuhkan Perikatan Nasional
February 1, 2026, 11:48 am
DAP tidak ghairah tambah ahli semata-mata tingkatkan angka keahlian
January 27, 2026, 9:28 pm
UMNO belum terima permohonan rasmi penyertaan semula bekas pemimpin
January 27, 2026, 9:09 am
Mohamed Nazri tidak tolak kemungkinan bertanding pada PRU16
January 26, 2026, 4:47 pm
Muhyiddin tidak dijemput hadir mesyuarat PN kerana letak jawatan berkuat kuasa 1 Januari
January 23, 2026, 1:43 pm
