TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Sanusi sifatkan cadangan Rumah Bangsa Malaysia usaha UMNO kukuh kedudukan

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR 11 Mac – Cadangan penubuhan sekretariat Rumah Bangsa Malaysia oleh UMNO dilihat sebagai usaha parti itu untuk kembali mengukuhkan kedudukan dalam politik Melayu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini perkara tersebut belum dibincangkan di peringkat parti walaupun ia sudah menjadi perbualan dalam kalangan pemimpin politik.

“Pada pandangan saya itu cubaan UMNO untuk berkuasa kembali dan menjadi ‘abang besar’ semula. Dalam parti kita sendiri perkara ini belum dibincangkan lagi.

“Masa dia sesak dia cari orang Melayu, masa dia rasa nak berkuasa dia cari kita. Masa dia seronok dia jadi kerajaan dengan DAP, itu UMNO, kita harap dia insaf,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada fakir miskin di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dan Perikatan Nasional (PN) berkata, Pas sentiasa berpegang kepada prinsip perjuangan Islam dan Melayu dalam usaha memperkukuh perpaduan ummah.

Menurutnya, Pas bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang selari dengan prinsip parti itu demi mengembalikan kuasa politik orang Islam.

“Kalau kuasa politik orang Islam hilang, jadi kacau-bilau. Semua orang mahu bersuara dan semua pihak ada kepentingan masing-masing sehingga keadaan menjadi tidak terkawal seperti yang berlaku kebelakangan ini.

“Jadi kuatkan dahulu politik orang Islam supaya dapat menjaga keharmonian semua kaum di negara ini. Islam tidak membenarkan kita menindas atau melakukan kezaliman serta diskriminasi,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, sebarang kerjasama politik perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan bukan sekadar strategi sementara.

“Orang boleh nampak ikhlas atau tidak. Sekarang ini bukan dunia berlakon, walaupun kepala tidak nampak, ekor orang boleh nampak sama ada itu ekor lembu atau ekor anjing.

“Cakap terus terang dan ikhlas, barulah boleh kuatkan politik umat Islam untuk menjaga keharmonian semua kaum di negara ini,” katanya.

+ - reset