TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Harga diesel di Thailand naik lagi, cecah 44.24 Baht seliter

By
|
Kongsi
image

 

BANGKOK 2 April - Harga diesel di Thailand akan meningkat sebanyak 3.50 baht seliter bermula Khamis (2 April) susulan keputusan kerajaan mengurangkan kadar subsidi bahan api berkenaan.

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Dana Bahan Api Minyak dalam mesyuarat pada Rabu, dengan mengambil kira ketidaktentuan harga minyak global yang masih tinggi dan menunjukkan trend peningkatan.

Dalam kenyataan rasmi, jawatankuasa berkenaan memaklumkan subsidi diesel dikurangkan sebanyak 4.11 baht seliter, daripada 21.89 baht kepada 17.78 baht seliter, selaras dengan situasi pasaran semasa serta keperluan mengekalkan kecairan dana.

Susulan pelarasan itu, harga runcit diesel domestik dijangka meningkat kepada 44.24 baht seliter berkuat kuasa 2 April.

Menurut jawatankuasa itu, langkah pengurangan subsidi berkenaan dijangka dapat mengurangkan beban perbelanjaan dana kepada sekitar 1.47 bilion baht sehari berbanding kira-kira 1.80 bilion baht sebelum ini, iaitu penjimatan hampir 362.76 juta baht sehari.

“Pelarasan ini penting bagi memastikan harga runcit lebih mencerminkan kos sebenar serta menjamin kemampanan jangka panjang Dana Bahan Api Minyak,” menurut kenyataan itu.

Kenaikan terbaharu ini merupakan yang ketiga dalam tempoh beberapa hari, selepas pelarasan sebanyak 6.00 baht pada 26 Mac dan 1.80 baht pada 31 Mac lalu.

Tinjauan di stesen minyak pada Rabu menunjukkan harga Gasohol 95 dijual pada 42.05 baht seliter, Gasohol 91 pada 41.68 baht, manakala Diesel B7 pula pada 40.74 baht seliter.

+ - reset