Berita Berita
Pendidikan undang-undang perlu diperkasa untuk lahirkan peguam masa depan — Prof Sivakumar
Oleh NUR LELA ZULKIPLI
KUALA LUMPUR 2 April - Presiden Commonwealth Legal Education Association (CLEA), Prof Dr S Sivakumar, menyeru institusi pendidikan dan profesion guaman di negara Komanwel agar mempercepat transformasi bagi menghadapi perubahan pesat menjelang 2030.
Beliau berkata, landskap perundangan global kini sedang melalui perubahan mendalam didorong oleh teknologi, globalisasi serta jangkaan masyarakat yang semakin tinggi terhadap sistem keadilan.
“Tema ‘Lawyering 2030 – Skills, Strategies and Legal Education for a Changing Commonwealth’ bukan sekadar melihat masa depan, tetapi merupakan seruan untuk kita bersedia menghadapinya,” katanya ketika berucap pada persidangan CLEA di ibu negara, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, sejak penubuhannya pada 1972, CLEA berperanan sebagai jambatan penting yang menghubungkan sarjana undang-undang, hakim dan pengamal dari pelbagai negara melalui kerjasama akademik, persidangan antarabangsa dan dialog dasar.
Katanya, dalam tempoh lebih lima dekad, organisasi itu berjaya memperkukuh pendidikan dan penyelidikan undang-undang melalui kurikulum moden, pendekatan pengajaran inovatif serta pembangunan profesional berterusan.
Mengulas cabaran masa depan, Sivakumar menegaskan profesion guaman perlu bersedia dengan kemahiran baharu bagi kekal relevan dalam dunia yang semakin kompleks.
“Peguam masa depan bukan sahaja perlu memahami undang-undang, tetapi juga memiliki kemahiran adaptif, pemikiran strategik dan pendidikan yang bersifat transformatif,” katanya.
Beliau menjelaskan tiga tonggak utama yang perlu diberi penekanan dalam pendidikan undang-undang ialah kemahiran adaptif, pemikiran strategik dan pendekatan pembelajaran yang mampu melahirkan pengamal undang-undang berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keunikan negara Komanwel yang walaupun berbeza dari segi sistem dan budaya, tetap berkongsi komitmen terhadap kedaulatan undang-undang, keadilan dan tadbir urus demokratik.
“Persidangan ini menghimpunkan pemikir terbaik dalam bidang perundangan dan menjadi platform penting untuk kita menilai cabaran serta merangka penyelesaian bersama,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kehadiran tokoh-tokoh penting termasuk Perdana Menteri Malaysia, ketua kehakiman serta wakil dari pelbagai negara sebagai pemangkin kepada perbincangan yang lebih bermakna.
Sivakumar berkata, hasil perbincangan persidangan itu diharap dapat diterjemahkan kepada dasar dan tindakan konkrit dalam memperkasa sistem pendidikan serta amalan undang-undang.
“Ini bukan sekadar forum perbincangan, tetapi platform tindakan untuk membentuk generasi baharu profesional undang-undang yang lebih bersedia menghadapi masa depan,” katanya. - Media Telus
Berita berkaitan
April 2, 2026, 5:15 pm
Polis buka dua kertas siasatan insiden bas ekspres, lori ayam bertengkar di Gerik
April 2, 2026, 5:03 pm
Penunggang motosikal putus kaki dirempuh pemandu langgar lampu merah di Jalan Sultan Ismail
April 2, 2026, 4:55 pm
Rafizi mengaku 'gagal' berdiam diri, enggan membodek walau ditekan pelbagai pihak
April 2, 2026, 4:32 pm
