TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan sedia tambah subsidi, pantau kenaikan harga barang tidak munasabah

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 2 April – Kerajaan memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara tidak munasabah dengan menggunakan alasan konflik Asia Barat serta krisis tenaga global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketegasan itu merupakan antara perkara utama yang ditekankan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) ke-17 yang dipengerusikannya hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah untuk mengurangkan beban perbelanjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat bagi mendepani cabaran ekonomi semasa yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup.

Bagi memastikan setiap isu rakyat ditangani dengan pantas, mesyuarat memutuskan agar jawatankuasa eksekutif tersebut bersidang secara berkala mengikut keperluan semasa sepanjang tempoh krisis tenaga ini berlangsung.

Ahmad Zahid memaklumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM54.7 bilion bagi tahun ini yang merangkumi bantuan sosial, subsidi serta pelbagai insentif peningkatan pendapatan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Program Jualan Rahmah.

Mengambil kira perkembangan konflik di Asia Barat yang semakin meruncing, beliau turut menjangkakan jumlah peruntukan subsidi kepada rakyat kemungkinan besar akan bertambah bagi memastikan golongan memerlukan terus terbela.

Sehingga kini, lebih 13.7 juta rakyat telah menerima manfaat daripada 60 program bantuan sosial di seluruh negara dengan hampir satu pertiga daripadanya merupakan isi rumah berpendapatan RM2,000 ke bawah.

Kerajaan juga komited untuk terus memperkukuh sistem pengangkutan awam serta memastikan penyampaian maklumat mengenai dasar negara dilakukan secara telus agar rakyat dapat membuat keputusan terbaik dalam kehidupan harian mereka.

+ - reset