TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kejohanan Catur Masjid India tarik lebih 200 peserta, buka laluan ke pentas dunia

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 4 April - Kejohanan Catur Masjid India dilihat sebagai platform penting dalam mencorak perjalanan bakat muda ke arah mencapai gelaran grandmaster pada masa depan.

Penyelaras pertubuhan Mukmin, Datuk Wira Shahul Dawood berkata, penganjuran kejohanan berkenaan bukan sahaja mencungkil bakat baharu, malah membuka ruang kepada generasi muda untuk mengasah kemahiran berfikir secara strategik.

Menurut beliau, Kejohanan Catur Piala Datuk Wira Shahul Dawood yang berlangsung di Masjid India itu berjaya menarik penyertaan lebih 200 peserta muda.

“Pertandingan ini melibatkan beberapa kategori umur iaitu bawah lapan tahun, 12 tahun dan 18 tahun, sekali gus memberi peluang kepada pelbagai peringkat usia untuk bersaing secara sihat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan kejohanan tersebut termasuk Hamid Majid (DATCC), Abdullah Hidayat (Ficus Enterprise), Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Datuk Sirajuddin, barisan penganjur, pengadil serta ibu bapa yang terlibat.

Tambahnya, sukan catur memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran strategik, disiplin serta ketahanan mental dalam kalangan belia.

“Ciri-ciri ini amat penting dalam melahirkan pemimpin masa depan. Malah, bagi sebahagian peserta muda, perjalanan untuk menjadi grandmaster mungkin telah bermula hari ini,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa catur bukan sekadar permainan, sebaliknya merupakan alat berkesan dalam membentuk keupayaan berfikir secara kritis dan strategik.

“Ia bukan hanya mengajar cara untuk menang, tetapi juga bagaimana untuk berfikir, menyesuaikan diri dengan situasi dan terus berkembang,” katanya lagi.

Terdahulu, majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi setiap kategori sebagai tanda penghargaan atas pencapaian mereka. - Media Telus

+ - reset