TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua remaja maut, seorang parah kereta rempuh tembok konkrit di Lebuhraya Iskandar Sultan

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 3 April – Dua rakan maut manakala seorang lagi cedera parah apabila kereta jenis Perodua Ativa yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh tembok konkrit di Susur Kilometer 14, Lebuhraya Iskandar Sultan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha mengesahkan bahawa pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan maut yang melibatkan tiga remaja warga tempatan itu kira-kira jam 4.25 pagi.

Siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu oleh remaja lelaki berusia 19 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah pusat bandar raya menuju ke arah Tampoi sebelum pemandu dipercayai hilang kawalan ke atas kenderaan berkenaan.

Akibat hilang kawalan, kereta tersebut terbabas ke bahu jalan lalu melanggar tembok konkrit di sebelah kiri jalan sehingga mengakibatkan pemandu serta penumpang hadapan, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, maut di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa yang merupakan remaja lelaki berusia 18 tahun dan berada di tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan parah serta sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) ketika ini.

Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tragis yang mengorbankan dua nyawa muda tersebut.

Pegawai penyiasat, Inspektor Zulhisyam Aziz meminta orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 019-7432966 atau mana-mana balai polis berhampiran.

+ - reset