TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Campak ke dinding, lelaki ditahan dera anak kucing di dobi layan diri di Kajang

By
|
Kongsi
image

 

KAJANG 3 April – Tindakan kejam seorang lelaki mendera seekor anak kucing di sebuah premis dobi layan diri di sini mengundang padah apabila dia ditahan pihak berkuasa selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor dalam kenyataan memaklumkan, kejadian terbongkar susulan penularan video berdurasi 59 saat yang memaparkan suspek mencampak anak kucing berkenaan ke dinding dan ke atas tilam berulang kali.

Menurutnya, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan (PKH) digerakkan ke lokasi kejadian kira-kira jam 11 pagi bagi menjalankan pemeriksaan susulan aduan awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati seekor anak kucing dipercayai haiwan sama dalam video berkenaan berada di lokasi kejadian,” katanya.

Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang disyaki terlibat turut ditemui sebelum ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku antara jam 3.40 pagi hingga 3.50 pagi semalam.

“Suspek ditahan dan permohonan reman dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” menurut kenyataan itu.

JPV Selangor turut memaklumkan pihaknya menyita seekor anak kucing, sebuah telefon bimbit dan seutas tasbih dipercayai milik suspek bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak melakukan sebarang perbuatan kejam terhadap haiwan kerana tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku.

+ - reset