TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

6 kapal milik Malaysia masih terkandas, AS digesa pertimbang semula kepungan di Selat Hormuz

By
|
Kongsi
image

REMBAU 14 April – Kerajaan Malaysia menggesa Amerika Syarikat agar mempertimbangkan semula tindakan menyekat pergerakan kapal di Selat Hormuz bagi mengelakkan gangguan bekalan tenaga dan kesan buruk terhadap kestabilan ekonomi dunia.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan bahawa sekatan yang dikenakan oleh pihak Amerika Syarikat itu akan menghalang kapal dagang serta kargo daripada memasuki atau keluar dari Teluk Parsi.

Beliau mempersoalkan pendirian Presiden Donald Trump yang mengarahkan kepungan tentera laut tersebut sedangkan pihak Amerika Syarikat sebelum ini pernah menyuarakan kerjasama antarabangsa untuk membuka laluan berkenaan.

Menurut Mohamad, tindakan terbaharu itu bukan sahaja akan menjejaskan bekalan tenaga global malah turut memberi kesan besar kepada bekalan baja ke seluruh dunia.

Beliau memaklumkan bahawa buat masa ini semua kapal di selat tersebut tidak boleh bergerak termasuk enam buah kapal milik Malaysia yang dilaporkan masih terkandas di laluan berkenaan.

Pihak Malaysia turut meminta Iran agar membenarkan kapal-kapal terus melalui Selat Hormuz demi kesejahteraan masyarakat antarabangsa dan meminta semua pihak kembali ke meja rundingan.

Mohamad menegaskan bahawa ekonomi dunia serta sektor pertanian tidak seharusnya dijadikan tebusan akibat konflik yang berlaku antara Amerika Syarikat, Israel dan juga Iran.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau telah mengarahkan Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk berunding dengan negara anggota lain bagi menilai semula kedudukan pasukan pengaman Malaysia di Lubnan.

+ - reset