TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRESMA meterai MoU dengan Green Packet, restoran mamak bakal lebih maju

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 April — Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Green Packet Berhad dalam usaha memperkukuh serta memodenkan industri restoran Muslim di negara ini.

Pengerusi Presma, Datuk Mohsin Abdul Razak berkata, kerjasama strategik itu menjadi satu langkah penting ke arah memastikan industri berkenaan kekal relevan dan berdaya saing, khususnya melalui penerapan teknologi serta sistem pengurusan yang lebih efisien.

“Kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh dan memastikan kelangsungan masa depan industri restoran Muslim di Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, Presma yang kini mempunyai kira-kira 9,000 ahli telah berkembang pesat sejak penubuhannya pada awal 1990-an, sekali gus menjadi antara penyumbang signifikan kepada ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Mohsin berkata nilai perolehan keseluruhan dalam kalangan ahli Presma adalah besar, mengambil kira penggunaan bahan mentah harian yang tinggi dalam operasi restoran.

“Berdasarkan kiraan mudah, jumlah perbelanjaan bahan asas sahaja seperti susu mencecah puluhan juta ringgit sebulan, sekali gus menunjukkan skala ekonomi yang besar dalam industri ini,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pengusaha restoran Muslim sentiasa berusaha mengekalkan harga makanan pada kadar berpatutan meskipun berdepan peningkatan kos operasi termasuk harga bahan api dan bahan mentah.

Dalam pada itu, MoU bersama Green Packet dijangka membuka ruang kepada pendigitalan operasi restoran termasuk penggunaan sistem inventori yang lebih tersusun, pengurangan pembaziran serta peningkatan kecekapan perniagaan.

“Melalui sistem yang lebih teratur, kita dapat mengurangkan pembaziran, meningkatkan margin keuntungan dan pada masa sama mengekalkan harga rendah kepada pelanggan,” katanya.

Selain itu, kerjasama tersebut turut melibatkan pembangunan platform pembelian berpusat yang membolehkan ahli Presma memperoleh bahan mentah pada harga lebih kompetitif.

Mohsin berkata, inisiatif berkenaan juga bakal meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan pengusaha restoran Muslim, selain membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan landskap industri.

“Kita mahu menjadi lebih profesional, menaik taraf operasi dan pada masa sama terus memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan serta rakyat,” ujarnya.

Beliau optimis dalam tempoh lima tahun akan datang, industri restoran Muslim akan mengalami transformasi ketara termasuk penggunaan teknologi automasi seperti robotik dan sistem pintar.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Green Packet atas komitmen dalam menjayakan kerjasama tersebut yang disifatkan sebagai peluang penting untuk melonjakkan industri ke tahap lebih tinggi tanpa membebankan pengusaha.

“Peluang seperti ini jarang datang, dan jika tidak dimanfaatkan, kita mungkin akan ketinggalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Green Packet Berhad, Datuk Wira Shahul Dawood berkata, kerjasama berkenaan bukan sekadar MoU biasa, sebaliknya platform untuk memacu transformasi menyeluruh dalam ekosistem industri makanan dan minuman (F&B).

Menurut beliau, Presma mewakili lebih 9,000 premis F&B dengan anggaran nilai perolehan mencecah hampir RM20 bilion setahun, sekali gus menjadikannya antara ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Malaysia.

“Ini bukan sekadar memperkenalkan teknologi, tetapi mengangkat dan mentransformasikan ribuan perniagaan melalui satu platform yang menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, melalui kerjasama itu, pihaknya sedang membangunkan sebuah ‘super app’ yang merangkumi pelbagai komponen termasuk sistem pembayaran, e-dompet, perisian tempat jualan (POS), pengurusan inventori, analitik data serta kemudahan pembiayaan.

Tambahnya, platform bersepadu itu bertujuan menyatukan operasi yang sebelum ini berpecah kepada satu sistem yang lebih cekap dan tersusun, sekali gus membantu pengusaha meningkatkan daya saing serta mengurangkan kos operasi.

“Kita bukan sahaja mendigitalkan transaksi, tetapi keseluruhan operasi termasuk tenaga kerja dan interaksi pelanggan,” jelasnya.

Dalam tempoh enam bulan akan datang, Shahul berkata pihaknya menyasarkan pelaksanaan awal sistem tersebut dengan fokus kepada kadar penggunaan dalam kalangan ahli Presma, sekali gus menjadikannya antara inisiatif pendigitalan terbesar dalam industri F&B negara.

Beliau menegaskan bahawa kedua-dua pihak komited memastikan MoU itu tidak sekadar kekal di atas kertas, sebaliknya dilaksanakan sepenuhnya demi manfaat industri.

“Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan perniagaan, tetapi berpotensi mengubah landskap industri serta kehidupan pemain industri secara keseluruhan,” katanya.

+ - reset