TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Saksi sahkan akaun Bersatu terima RM5 juta antara September 2021 hingga November 2022

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 April – Dua pegawai bank hari ini mengesahkan di Mahkamah Tinggi bahawa akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima kemasukan wang berjumlah RM5 juta melalui beberapa transaksi antara September 2021 dan November 2022.

Saksi pendakwaan ketujuh, Herdayanti Md Hassan yang merupakan Penolong Pengurus Cawangan CIMB Bukit Tunku, menyatakan terdapat empat transaksi kemasukan wang melalui cek daripada akaun peribadi seorang individu bernama Datuk Azman Yusoff.

Beliau mengesahkan pengeluaran wang tersebut dilakukan daripada akaun milik Azman Yusoff yang didaftarkan di bawah syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd berdasarkan penelitian ke atas penyata bank yang dikemukakan.

Keterangan tersebut diberikan pada hari keempat perbicaraan kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menghadapi pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa.

Sewaktu sesi soal balas oleh peguam bela Datuk Amer Hamzah Arshad, Herdayanti mengakui tidak mempunyai maklumat mengenai tujuan sebenar cek tersebut dikeluarkan kepada akaun Bersatu.

Walau bagaimanapun, saksi bersetuju dengan hujah pembelaan bahawa setiap transaksi tersebut adalah telus kerana direkodkan secara rasmi oleh pihak bank pengeluar serta bank penerima.

Dalam prosiding yang sama, saksi pendakwaan kelapan, Alfian Othman dari cawangan Maybank Kota Kemuning, turut mengesahkan syarikat Nepturis Sdn Bhd telah mengeluarkan sekeping cek bernilai RM1 juta kepada Bersatu pada 21 Februari 2022.

Alfian turut bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa pembayaran oleh syarikat pembinaan tersebut tidak melibatkan akaun peribadi Muhyiddin, sebaliknya dimasukkan terus ke dalam akaun rasmi parti.

Beliau juga senada dengan saksi sebelumnya bahawa transaksi membabitkan instrumen cek berkenaan adalah telus dan tidak diselindungi kerana setiap butirannya telah didokumentasikan dalam sistem perbankan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin, dijadualkan bersambung semula pada 28 April ini.

+ - reset