TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemandu bas, kekasih ke penjara hari ini, mengaku memandu secara berbahaya

By
|
Kongsi
image

 

JASIN 17 April - Seorang pemandu bas bersama kekasihnya dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya minggu lalu.

Tertuduh, Arif Fahmi Abd Salam, 36, dan Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah, 21, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mazanan Sinin.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap Arif Fahmi, manakala Nur Adila Najwa dipenjara enam bulan, selain masing-masing dikenakan denda RM5,000.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama-sama didapati memandu kenderaan bas bernombor pendaftaran APE 9588 dengan cara berbahaya kepada orang awam.

Kesalahan itu dilakukan pada Ahad lalu kira-kira jam 7.30 malam di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban R&R, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.

Sementara itu, Nur Adila Najwa turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina seorang wanita berusia 44 tahun sehingga mengganggu ketenteraman mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada hari sama kira-kira jam 6 petang di dalam bas berkenaan ketika berada di susur keluar R&R Bemban arah selatan di daerah Jasin.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.

+ - reset