TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis tidak tolak kemungkinan ‘orang dalam’ terbabit kes samun kedai emas bernilai RM9.7 Juta

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 April -  Penjenayah bersenjata yang menyamun sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan di sini semalam dan melarikan emas bernilai RM9.7 juta dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai milik kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek dipercayai milik kenderaan lain.

Menurutnya, pihak polis turut merakam keterangan pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran asal bagi membantu siasatan lanjut.

"Setakat ini seramai 12 individu termasuk pengadu, pemilik kedai dan 10 pekerja dirakam percakapan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi mengesan pergerakan suspek.

Katanya, polis juga sedang menyusun semula kronologi sebelum dan selepas kejadian selain menganalisis rakaman dari beberapa lokasi serta meneliti semua aspek termasuk kemungkinan pembabitan orang dalam.

"Kita tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk elemen orang dalam. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Semalam, media melaporkan sekumpulan penjenayah bersenjata pistol melarikan 21 dulang emas dianggarkan bernilai RM9.7 juta dalam rompakan sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan di sini.

Suspek membabitkan empat lelaki bersenjatakan dua pistol itu turut melarikan selaras senapang patah bersama sebutir peluru milik pengawal keselamatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11 pagi.

+ - reset