TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia utamakan kegunaan rakyat, pertimbang beri diesel pada Australia jika ada lebihan

By
|
Kongsi
image

CYBERJAYA 17 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia akan memberi keutamaan sepenuhnya kepada keperluan bahan api dalam negara sebelum mempertimbangkan sebarang pembekalan lebihan kepada Australia.

Beliau menjelaskan bahawa dalam perbincangan bersama rakan sejawatannya, Anthony Albanese semalam, kedua-dua pihak telah menyatakan persefahaman mengenai keperluan bekalan yang dihadapi oleh negara masing-masing.

Meskipun Australia menyuarakan permintaan terhadap bekalan diesel, Anwar menyatakan dengan tegas bahawa Malaysia pada masa ini tidak mempunyai keupayaan untuk memenuhi permintaan tersebut demi menjamin kelangsungan keperluan rakyat tempatan.

Beliau turut memperincikan bentuk kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara, di mana Malaysia memerlukan bekalan fosfat dari Australia, manakala pihak sana pula memerlukan bekalan urea dari Malaysia.

Anwar menyelar tindakan pihak tertentu yang melemparkan tohmahan negatif berhubung isu tersebut, sedangkan pendirian kerajaan adalah sangat jelas iaitu hanya akan mempertimbangkan eksport bahan api sekiranya terdapat lebihan bekalan yang mencukupi.

Tegas beliau, keutamaan rakyat tidak akan dikompromi dan sebarang keputusan mengenai perdagangan bahan api akan dibuat berdasarkan kapasiti sebenar pengeluaran negara.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, di sini, hari ini.

+ - reset