Berita Berita
KBS perkasa bakat muda, pastikan tiada atlet tercicir - Mordi
KUALA LUMPUR, 20 April – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan komitmennya dalam memperkasa pembangunan atlet muda negara secara menyeluruh, adil dan inklusif bagi memastikan tiada bakat tercicir daripada sistem sukan negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, beliau berbangga dengan kisah kejayaan atlet muda seperti Jazmin Alag yang disifatkan mencerminkan semangat juang tinggi dalam menghadapi pelbagai cabaran demi mencapai kecemerlangan.
Menurut beliau, kisah seumpama itu bukan sahaja membanggakan, malah mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda di seluruh negara untuk terus berusaha mengejar impian dalam bidang sukan.
“Setiap bakat muda perlu diberi ruang untuk berkembang secara adil tanpa mengira latar belakang, kaum atau tempat asal. Kejayaan dalam sukan bukan hanya bergantung kepada bakat, tetapi turut memerlukan peluang, sokongan serta sistem pembangunan yang terbuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, KBS akan terus memastikan lebih ramai bakat muda diberikan peluang untuk berkembang serta tidak tercicir daripada sistem pembangunan sukan negara.
Dalam pada itu, Mordi menegaskan bahawa pembangunan atlet akan terus diperkasakan berasaskan merit, prestasi dan potensi sebenar tanpa sebarang diskriminasi.
“Tiada bakat wajar dipinggirkan sekiranya mereka mempunyai disiplin, kemampuan dan kesungguhan untuk berjaya,” ujarnya.
Sehubungan itu, KBS akan memperkukuh usaha pencarian bakat di seluruh negara, menambah baik laluan pembangunan atlet serta mempertingkatkan sokongan dalam aspek sains sukan dan kesejahteraan mental.
Selain itu, kerjasama strategik bersama persatuan sukan, kerajaan negeri dan sektor swasta akan terus diperkukuhkan bagi memastikan ekosistem pembangunan atlet lebih mampan dan berkesan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Malaysia mempunyai ramai anak muda berbakat besar, dan menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membuka ruang serta menyediakan peluang agar mereka mampu melangkah lebih jauh.
“KBS akan terus komited melahirkan lebih ramai atlet cemerlang yang bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.
Berita berkaitan
April 20, 2026, 10:31 am
Dua beradik maut, dua lagi parah kereta dinaiki bertembung dua kenderaan
April 19, 2026, 1:23 pm
Tegur merokok punca pergaduhan di restoran nasi kandar Bandar Rimbayu
April 19, 2026, 1:19 pm
RM150,000 disalur perkasa kemudahan sukan di SK Stass, gilap bakat pelajar luar bandar
April 19, 2026, 1:14 pm
Tujuh lelaki mengaku tidak bersalah berlagak wanita di Kota Bharu
April 19, 2026, 12:06 pm
Dua pegawai bomba selamatkan wanita terperangkap dalam kebakaran gerai
April 19, 2026, 11:53 am
Anthony Loke arah siasatan tergempar isu BHS, MAHB bakal berdepan tindakan
April 19, 2026, 11:46 am
Amirudin sedia pertahankan Parlimen Gombak, tekad selesaikan isu tertangguh
April 19, 2026, 11:42 am
