TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua beradik maut, dua lagi parah kereta dinaiki bertembung dua kenderaan

By
|
Kongsi
image

BATU PAHAT 20 April – Dua beradik maut manakala dua lagi saudara mereka mengalami kecederaan parah selepas kereta Toyota Vios yang dinaiki empat beradik itu terlibat dalam kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Batu Pahat-Kluang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani memaklumkan mangsa yang terkorban ialah Fazli Yuzaini, 30, dan adiknya Irfan Helmi Zainal Abideen, 20. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian berhampiran SMK Sri Lalang akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 4.20 petang ketika keadaan hujan lebat, menyebabkan kenderaan yang dipandu Azrul Nizam, 29, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga dan Volvo XC99.

Dua lagi mangsa yang terselamat namun cedera parah di kepala ialah Azrul Nizam dan Zul Fahmi, 25. Mereka kini sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan dua mangsa yang maut selepas mereka didapati tersepit di bahagian penumpang belakang kenderaan tersebut.

Pemandu Proton Saga, seorang wanita berusia 42 tahun, dilaporkan mengalami kecederaan di kaki kanan, manakala pasangan suami isteri yang menaiki Volvo XC99 terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses bedah siasat. Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi tersebut.

+ - reset