Berita Berita
Anwar: Sektor pertahanan perlu berlandaskan kerangka keamanan, keadilan
KUALA LUMPUR20 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud kegelisahan masyarakat terhadap pameran aset pertahanan, namun menegaskan bahawa sektor tersebut mestilah dilihat dalam kerangka mempertahankan keamanan dan keadilan sejagat.
Ketika merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 hari ini, beliau menjelaskan bahawa kebimbangan mengenai senjata yang membawa kemusnahan timbul apabila dunia tidak sentiasa diatur oleh pihak yang bertanggungjawab dalam menggunakan kekuatan ketenteraan.
Anwar berkata, teknologi pertahanan bukan sekadar simbol kekuatan, tetapi instrumen penting bagi mengelakkan tekanan daripada pihak yang cenderung menggunakan senjata untuk menakut-nakutkan pihak lain. Justeru, pemahaman mengenai tujuan sebenar pembangunan teknologi ini amat kritikal bagi menepis persepsi negatif masyarakat.
Edisi kali ini menyaksikan peningkatan penyertaan dengan penglibatan 1,456 syarikat pempamer dari 63 negara. Walaupun Iran menarik diri pada saat akhir, sebanyak 37 pavilion negara disediakan dengan penyertaan terbesar datang daripada China (192 syarikat), diikuti Turkiye (87) dan Amerika Syarikat (83).
Pameran dwitahunan ini turut mencatatkan kehadiran lima pavilion baharu iaitu dari Croatia, Finland, Hungary, Jepun dan Russia, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai platform utama pengenalan sektor pertahanan dan keselamatan di peringkat global.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan atas penganjuran acara berskala besar ini yang bukan sahaja memperkenalkan teknologi canggih, malah menjadi medan untuk memperkukuh diplomasi pertahanan antarabangsa.
Berita berkaitan
April 20, 2026, 1:42 pm
Pelajar Tingkatan 2 cipta rekod Malaysia hafal 300 digit nombor Pi
April 20, 2026, 12:36 pm
Kampung Bahagia bakal dibangunkan semula sebagai perkampungan sah
April 20, 2026, 12:27 pm
Sultan Selangor titah tangguh SUKMA, batal Piala Sultan Selangor demi jimat kos
April 20, 2026, 12:19 pm
Padah jadi penjamin hutang judi rakan, lelaki warga China dikurung tiga hari
April 20, 2026, 10:35 am
Mara lantik bekas anggota beruniform jadi warden sepenuh masa di semua MRSM
April 20, 2026, 10:31 am
Dua beradik maut, dua lagi parah kereta dinaiki bertembung dua kenderaan
April 20, 2026, 8:47 am
