TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Padah jadi penjamin hutang judi rakan, lelaki warga China dikurung tiga hari

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 20 April – Seorang lelaki warga China menempuh detik cemas apabila dikurung selama tiga hari di sebuah unit inap desa di Sunway Velocity, Jalan Peel, selepas rakannya yang berhutang judi gagal melunaskan tunggakan berjumlah RM100,000.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa berusia 36 tahun itu dijadikan sebagai 'penjamin' oleh rakannya, namun keadaan bertukar menjadi tegang selepas rakan tersebut bertindak melarikan diri tanpa membayar hutang berkenaan.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah melancarkan serbuan pada jam 9 malam Jumaat lalu dan berjaya menyelamatkan mangsa selain menahan dua lelaki tempatan berusia 30 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

Siasatan awal mendedahkan mangsa dikurung sebagai tekanan bagi memaksa hutang tersebut dijelaskan, manakala polis turut merampas barangan bukti termasuk kad akses, serangkai kunci rumah serta dua buah telefon bimbit di lokasi kejadian.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan atas kesalahan pengurungan salah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut, sementara pihak polis sedang giat menjalankan usaha mengesan dalang utama kes tersebut yang masih bebas untuk dibawa ke muka pengadilan.

+ - reset