TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dipukul, kepala direndam dalam air, diheret dalam tandas, murid Tahun 6 dakwa dibuli senior di rumah anak yatim di Melaka

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 2 Mei - Seorang murid Tahun 6 yang menetap di sebuah rumah anak yatim di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, dipercayai menjadi mangsa buli selepas didakwa dipukul, ditendang dan diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan oleh sekumpulan pelajar senior.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian itu terbongkar apabila ibu mangsa tampil membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa anak lelakinya itu pada Rabu lalu, jam 7.11 malam.

Menurutnya, berdasarkan laporan pengadu mendakwa mangsa yang juga murid Tahun 6 bukan sahaja dipukul dan ditendang malah kepalanya turut direndam ke dalam baldi berisi air oleh suspek yang dikenalinya.

"Tindakan suspek tidak terhenti di situ apabila mangsa turut didakwa diseret di atas lantai tandas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas laporan polis melakukan siasatan dan menahan empat pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 16 tahun pada keesokannya kira-kira jam 3.45 petang.

"Semua suspek yang juga pelajar sekolah menengah itu ditahan bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil," katanya yang turut memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan.

+ - reset