TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Padah hina Agong, lelaki dipenjara 3 bulan, denda RM5,000

By
|
Kongsi
image

 

BANGI 5 Mei - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi selepas mengaku bersalah atas kesalahan membuat kenyataan jelik yang menghina Yang di-Pertuan Agong pada September tahun lalu.

Orang kena saman (OKS), Mohd Hafiz Haron, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Firdaus Md Isa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik melampau sifatnya terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 7.30 pagi, 11 September 2025 melalui aplikasi TikTok menggunakan akaun @muhammad.bin.abdu969.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Berdasarkan fakta kes, hantaran berunsur jelik itu dilihat seorang lelaki yang juga pengadu ketika berada di sebuah rumah di Taman Pelangi, Semenyih pada jam 10 malam hari sama.

Laporan susulan turut dibuat oleh tiga individu lain yang melihat kandungan sama dan tidak berpuas hati dengan hantaran berkenaan.

Keterangan menunjukkan OKS sedar dan tahu bahawa hantaran dibuat bersifat jelik melampau serta menghina Yang di-Pertuan Agong sehingga menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati orang ramai.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mohd Hafiz yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan beliau pencari nafkah, bekerja di kampung untuk menyara keluarga serta tiga anak selain menjaga ibunya yang uzur.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bermula hari ini serta denda RM5,000, dengan tambahan empat bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sebelum ini, media melaporkan Polis Diraja Malaysia menahan seorang pemilik akaun TikTok selepas memuat naik video mengandungi unsur hasutan serta mengaibkan Yang di-Pertuan Agong.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 Bukit Aman berhubung penularan video tersebut di aplikasi TikTok.

+ - reset