TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes kemalangan maut pasangan suami isteri di Jalan Ampang diklasifikasi semula sebagai kes bunuh

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 Mei – Kes kemalangan maut yang mengorbankan pasangan suami isteri di Jalan Ampang pada Sabtu lalu kini diklasifikasikan semula untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana unsur bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa, mengesahkan bahawa suspek lelaki berusia 24 tahun itu telah ditahan selepas dibenarkan keluar dari hospital semalam.

Suspek yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur telah hadir memberi keterangan di Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee sebelum dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Mahkamah Kuala Lumpur pada hari ini telah membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap suspek sehingga 11 Mei depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.

Pihak polis juga akan merujuk kertas siasatan tersebut kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk tindakan pendakwaan seterusnya.

Dalam kejadian tragis pada Sabtu lalu, pasangan suami isteri yang menaiki motosikal jenis Honda Wave Alpha maut selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Pemandu kereta berkenaan yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dilaporkan hilang kawalan sebelum merempuh mangsa, manakala dua penumpang lain dalam kenderaan tersebut hanya mengalami kecederaan.

Seorang penumpang belakang kereta tersebut yang hanya cedera ringan telah dibenarkan pulang lebih awal dan sudah pun tampil membuat laporan polis bagi membantu proses siasatan kes berkenaan.

+ - reset