TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pertanian mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan terima wang RM56,200

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 Mei – Seorang Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Pertanian Putrajaya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 11 pertuduhan menerima wang berjumlah RM56,200 daripada dua pengarah syarikat antara tahun 2023 hingga 2025.

Mohamad Nizam Malik, 48, yang bertugas di Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, didakwa menerima barangan berharga tanpa balasan daripada pengerusi sebuah koperasi dan pengarah sebuah syarikat swasta yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.

Bagi dua pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM25,700 daripada Pengerusi Koperasi Usahawan Alam Shah Berhad (KOSHAH) menerusi transaksi pindahan wang secara dalam talian.

Beliau turut berhadapan sembilan lagi pertuduhan melibatkan penerimaan wang berjumlah RM30,500 daripada Pengarah Syarikat Orchidmas Sdn Bhd melalui seorang individu lain di lokasi sekitar Putrajaya.

Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Mohamad Safari Abdullah pada awalnya menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan seperti melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Walau bagaimanapun, peguam bela memohon jumlah jaminan yang lebih rendah atas alasan tertuduh telah digantung tugas, selain sudah diisytiharkan muflis sejak tahun 2021 dan perlu menyara lima orang anak.

Hakim Suzana Hussin kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM13,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 8 Jun depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

+ - reset