TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Trump umum lanjutan gencatan senjata dengan Iran, rundingan damai diteruskan

By
|
Kongsi
image

 

WASHINGTON 22 April -  Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan lanjutan gencatan senjata dengan Iran tanpa had, hanya beberapa jam sebelum tempohnya dijadualkan tamat, bagi memberi ruang kepada rundingan damai diteruskan.

Katanya, langkah itu bertujuan membolehkan kedua-dua negara meneruskan usaha diplomatik untuk menamatkan konflik yang telah mengorbankan ribuan nyawa serta menggugat ekonomi global.

Berundur daripada ancaman keganasan baharu yang dibuat lebih awal semalam, Trump dalam satu kenyataan berkata beliau bersetuju dengan permintaan Pakistan, yang bertindak sebagai perantara rundingan damai dalam konflik tujuh minggu itu.

Katanya, penangguhan serangan ke atas Iran itu adalah untuk memberi ruang sehingga pemimpin dan wakil mereka dapat mengemukakan satu cadangan yang bersatu.

Pengumuman Trump itu dilihat dibuat secara sebelah pihak dan tidak jelas sama ada Iran atau sekutu AS, Israel, akan bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata yang bermula dua minggu lalu.

Trump turut berkata beliau akan meneruskan sekatan Tentera Laut AS ke atas pelabuhan dan pesisir Iran, yang disifatkan pemimpin negara itu sebagai satu tindakan perang.

Tiada maklum balas segera daripada pemimpin tertinggi Iran, namun Agensi Berita Tasnim yang berkait dengan Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) melaporkan Tehran tidak pernah meminta lanjutan gencatan senjata.

Malah, ia mengulangi ancaman untuk memecahkan sekatan AS dengan kekerasan.

Seorang penasihat kepada ketua perunding Iran, iaitu Yang Dipertua Parlimen, Mohammad Baqer Qalibaf, berkata pengumuman Trump itu tidak membawa banyak makna.

"Lanjutan gencatan senjata oleh Trump jelas satu helah untuk melengahkan masa bagi melancarkan serangan mengejut," kata penasihat Yang Dipertua Parlimen itu, Mahdi Mohammadi, dalam kenyataan di media sosial.

Beliau turut menyifatkan sekatan AS sebagai pencerobohan ketenteraan berterusan dan kini tiba masanya Iran mengambil inisiatif.

Trump berkata beliau akan melanjutkan gencatan senjata itu sehingga 'cadangan Iran dikemukakan dan perbincangan dimuktamadkan, dalam apa jua keadaan'.

Ia adalah perkembangan terbaharu yang menyaksikan Trump menarik balik ancamannya pada saat akhir untuk mengebom setiap loji janakuasa di Iran.

Setiausaha Agung United Nations (PBB), António Guterres, serta pihak lain sebelum ini mengecam ancaman berkenaan dengan menegaskan undang-undang kemanusiaan antarabangsa melarang serangan yang menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam.

Lanjutan gencatan senjata itu diumumkan hanya beberapa jam selepas Trump berkata beliau tidak cenderung untuk meneruskan gencatan sementara dan tentera AS 'bersedia sepenuhnya' untuk bertindak.

Dalam temu bual dengan CNBC, beliau menyatakan AS berada dalam kedudukan rundingan yang kukuh dan akan memperoleh apa yang disifatkannya sebagai 'perjanjian yang hebat'.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, dalam kenyataan di media sosial mengucapkan terima kasih kepada Trump kerana 'dengan penuh ihsan menerima permintaannya untuk melanjutkan gencatan senjata bagi membolehkan usaha diplomatik yang sedang berjalan diteruskan'.

"Saya berharap kedua-dua pihak akan terus mematuhi gencatan senjata dan berjaya memuktamadkan satu 'Perjanjian Damai' yang komprehensif dalam pusingan kedua rundingan yang dijadual berlangsung di Islamabad bagi menamatkan konflik secara kekal," tulis Sharif.

Bagaimanapun, tidak jelas bila atau sama ada pusingan kedua rundingan itu akan diadakan. - REUTERS

+ - reset