TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hormati kuasa pengampunan Agong - Muhammad Faiz

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 6 Mei – Ahli PKR Cabang Putrajaya, Dr. Muhammad Faiz Na’aman, menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati prinsip kedaulatan undang-undang termasuk kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam isu pengampunan banduan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Wilayah Persekutuan, Asheeq Ali Sethi Alivi, yang mahu kepimpinan tertinggi PKR menyatakan pendirian rasmi berhubung isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, desakan tersebut timbul susulan rayuan terbuka yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kepada Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr. Muhammad Faiz menjelaskan bahawa mengikut Perlembagaan Persekutuan, YDPA mempunyai kuasa mutlak melalui Lembaga Pengampunan untuk meringankan atau mengampunkan hukuman mana-mana individu yang telah disabitkan kesalahan.

Beliau berpendapat bahawa desakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memberi maklum balas terhadap rayuan Presiden UMNO itu adalah sesuatu yang tidak perlu dilakukan buat masa ini.

Tindakan mengeluarkan kenyataan rasmi yang bersifat membantah dikhuatiri akan menjejaskan keharmonian serta perpaduan antara parti-parti di dalam Kerajaan Madani yang sedang mentadbir negara.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang tindakan yang mendahului keputusan Istana Negara adalah tidak wajar kerana ia boleh meletakkan pimpinan kerajaan dalam keadaan yang bertentangan dengan institusi beraja.

Walaupun secara peribadi beliau mahu bekas Perdana Menteri itu terus menjalani hukuman penjara yang sedang berjalan, namun hak mana-mana pihak untuk mengemukakan rayuan mengikut saluran undang-undang tetap perlu dihormati.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak bertenang dan menyerahkan kebijaksanaan sepenuhnya kepada YDPA dalam menentukan soal pengampunan tersebut mengikut sistem perundangan negara yang sedia ada.

+ - reset