TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PTPTN umum dividen Simpan SSPN 4.10 peratus, tertinggi dalam 11 tahun

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 6 Mei – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak 4.10 peratus bagi tahun 2025, sekali gus menawarkan pulangan lebih kompetitif kepada pendeposit.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusinya, Norliza Abdul Rahim dalam satu majlis di Menara PTPTN, di sini hari ini.

Menurut PTPTN, kadar dividen berkenaan memberi manfaat kepada 6.07 juta akaun pendeposit melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM505.68 juta.

“Jumlah keseluruhan pemberian dividen sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada 2004 kini mencecah RM2.63 bilion,” menurut kenyataan itu.

Agihan dividen tersebut akan dikreditkan terus ke dalam akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing melalui aplikasi myPTPTN bermula 7 Mei ini.

Kadar 4.10 peratus itu juga lebih tinggi berbanding 4.05 peratus yang diumumkan bagi tahun 2024, selain menjadi kadar tertinggi dalam tempoh 11 tahun.

PTPTN memaklumkan peningkatan tersebut didorong oleh strategi pelaburan patuh syariah yang berkesan merangkumi instrumen pasaran wang dan sukuk tempatan, di samping pengurusan risiko serta pemilihan portfolio pelaburan yang strategik.

“Pulangan ini menunjukkan prestasi positif pelaburan jika dibandingkan dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang ditetapkan Bank Negara Malaysia pada kadar 2.75 peratus sepanjang tahun 2025,” menurut kenyataan itu.

Dari segi prestasi simpanan, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima pada 2025 adalah sebanyak RM3.33 bilion, meningkat RM154.10 juta atau 4.86 peratus berbanding RM3.17 bilion pada tahun sebelumnya.

Selain itu, lebih 500,000 akaun baharu direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan deposit terkumpul setakat 31 Disember 2025 sebanyak RM23.88 bilion.

PTPTN turut menegaskan Simpan SSPN bukan sekadar produk simpanan, malah menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma, Geran Sepadan sehingga RM10,000 serta jaminan kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan melalui Belanjawan 2025 turut memperluaskan kriteria pemberian Geran Sepadan Simpan SSPN Prime kepada keluarga berpendapatan antara RM4,000 hingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun di bawah inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI).

Pendeposit yang layak kini boleh memohon geran sepadan sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga.

Maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN atau aplikasi myPTPTN.

+ - reset