TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Johor tubuhkan jawatankuasa khas perkemas keselamatan sekolah susulan nahas murid maut

By
|
Kongsi
image

ISKANDAR PUTERI 6 Mei – Kerajaan Negeri Johor akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti dan memperketat aspek keselamatan di sekolah susulan insiden menyayat hati melibatkan seorang murid perempuan Tahun Dua yang maut dilanggar van di Batu Pahat, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, menyatakan bahawa jawatankuasa tersebut bukan sahaja akan menyiasat punca kejadian, malah akan memfokuskan kepada penambahbaikan garis panduan keselamatan sedia ada di seluruh negeri.

Langkah ini juga akan menyokong pelaksanaan Kempen Sekolah Selamat yang bakal dilancarkan awal bulan depan, merangkumi kawalan trafik, pergerakan murid, serta keselamatan menyeluruh di dalam kawasan sekolah.

Susulan kejadian itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diarahkan untuk memperketat kawalan keluar masuk kenderaan dengan memastikan setiap kenderaan berdaftar di pos keselamatan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sejak 1999.

Dalam pada itu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa serta murid-murid yang menyaksikan kejadian tersebut bagi membantu menangani trauma.

Semalam, mangsa yang dikenali sebagai Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8 tahun, maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar utama Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan berlaku apabila van berkenaan yang selesai menghantar barang cuba bergerak keluar dari kawasan sekolah menuju ke jalan utama.

Aznan Tamin dijadualkan akan menyantuni keluarga mangsa esok bagi memberi sokongan moral dan melihat sendiri keperluan kebajikan mereka selepas tragedi tersebut.

+ - reset