TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Zoo Tennoji pamer siri foto Dara, Amoi dan Kelat, dakwa gajah Malaysia dalam keadaan baik

By
|
Kongsi
image

OSAKA 6 Mei – Zoo Tennoji di Jepun hari ini memuat naik siri foto memaparkan keadaan tiga gajah Asia dari Malaysia, iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK), yang didakwa berada dalam keadaan sihat dan mula menyesuaikan diri di bawah jagaan mereka.

Langkah tersebut diambil oleh pihak zoo bagi meredakan kebimbangan rakyat Malaysia yang semakin memuncak sejak pemindahan haiwan berkenaan dari Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) ke zoo di Osaka itu pada 11 Mac lalu.

Menerusi hantaran di laman web rasmi mereka, pihak zoo menggambarkan personaliti unik setiap gajah tersebut:

  • Kelat (20 tahun): Disifatkan sebagai gajah jantan yang tegas namun mempunyai sifat manja seperti kanak-kanak dan gemar berada dalam kumpulan bersama dua gajah betina lain.

  • Dara (14 tahun): Digambarkan sebagai gajah yang sangat bertanggungjawab dan bertindak sebagai 'kakak' yang sering memerhati keadaan sekeliling serta melindungi Amoi.

  • Amoi (9 tahun): Merupakan gajah paling muda yang sangat aktif, gemar bermain pasir, mandi lumpur, serta bijak mencari peluang untuk mendapatkan makanan kegemarannya.

Pihak zoo turut berkongsi detik menyentuh hati apabila ketiga-tiga gajah berkenaan dilihat tidur berbaring berdekatan antara satu sama lain, yang menurut pakar, merupakan petanda haiwan tersebut berasa selamat dengan persekitaran baharu mereka.

Dalam pada itu, pihak Zoo Tennoji mengakui masih dalam proses belajar dan bekerjasama rapat dengan kakitangan dari Malaysia yang mempunyai kemahiran serta pengalaman luas dalam pengendalian gajah bagi memastikan kebajikan haiwan tersebut terjaga.

Isu pemindahan gajah ini sebelum ini mendapat perhatian serius Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) selepas tular dakwaan gajah-gajah tersebut ditempatkan di kawasan yang tidak sesuai atau 'penjara simen'.

Menteri NRES, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, sebelum ini telah menggesa ZTNS memulakan rundingan segera dengan pihak zoo di Jepun bagi menilai mekanisme terbaik untuk membawa pulang ketiga-tiga gajah tersebut ke tanah air.

+ - reset