TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Ketua Menteri Uttar Pradesh teruk dikecam bangga larang solat berjemaah di jalan raya, hadkan laungan azan guna pembesar suara

By
|
Kongsi
image

 

LUCKNOW 9 Mei – Tindakan kerajaan Uttar Pradesh pimpinan Yogi Adityanath yang melarang solat berjemaah atau namaz di jalan raya serta mengetatkan penggunaan pembesar suara untuk azan terus mencetuskan kontroversi dan menerima kecaman pelbagai pihak di India.

Menurut laporan The Indian Express, Adityanath dalam satu ceramah politik mendakwa amalan seperti solat Aidilfitri dan majlis iftar di jalan raya tidak lagi dibenarkan di Uttar Pradesh di bawah pentadbirannya.

Beliau turut menegaskan jalan raya adalah untuk kegunaan awam dan trafik, bukannya bagi aktiviti keagamaan, selain mendakwa pentadbirannya berjaya memastikan “disiplin” dalam pengurusan ruang awam di negeri paling ramai penduduk di India itu.

Dalam laporan berasingan oleh Times of India, Adityanath mempertahankan dasar berkenaan dengan menyatakan kerajaan negeri hanya menguatkuasakan undang-undang secara sama rata tanpa mengira agama.

Kerajaan Uttar Pradesh sebelum ini turut melaksanakan kempen mengawal penggunaan pembesar suara di rumah ibadah termasuk masjid bagi laungan azan.

Menurut laporan Hindustan Times, pihak berkuasa negeri mendakwa lebih 100,000 pembesar suara diturunkan atau diperlahankan bunyinya dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan sejak 2022.

Bagaimanapun, langkah berkenaan menerima kritikan hebat daripada kumpulan hak asasi manusia, pemimpin pembangkang dan aktivis masyarakat sivil yang mendakwa tindakan itu dilihat lebih tertumpu kepada komuniti Islam.

Menurut Kashmir Media Service, beberapa pemimpin politik dan pertubuhan sosial mengecam kenyataan Adityanath yang dianggap boleh meningkatkan sentimen anti-Islam serta menjejaskan keharmonian antara agama di India.

Pemerhati politik turut menyifatkan isu berkaitan namaz di jalan raya dan penggunaan azan sering menjadi polemik dalam politik India sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya di negeri-negeri yang dipimpin Bharatiya Janata Party (BJP).

Pada 2022, beberapa laporan media India menyebut polis Uttar Pradesh pernah mengambil tindakan terhadap individu yang didakwa menganjurkan solat Aidilfitri di ruang awam tanpa kebenaran, sekali gus mencetuskan bantahan daripada organisasi Islam tempatan.

Isu itu terus menjadi perdebatan hangat di media sosial apabila sebahagian pengguna mendakwa kerajaan negeri mengamalkan pendekatan berat sebelah terhadap amalan masyarakat Islam, manakala penyokong Adityanath mempertahankan langkah berkenaan sebagai usaha memastikan ketenteraman dan penguatkuasaan undang-undang di ruang awam.

+ - reset