TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Muhasabahlah diri, orang Melayu tak boleh hanya tunggu dibantu' - Bekas CEO Proton

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 11 Mei – Masyarakat Melayu disaran melakukan perubahan sikap dan lebih berani merebut peluang bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi tanpa terlalu bergantung kepada bantuan semata-mata.

Memetik laporan FMT, tokoh korporat, Syed Zainal Abidin Syed Tahir berkata, masih terdapat segelintir masyarakat Melayu yang mengekalkan mentaliti menunggu bantuan, sedangkan pendekatan itu perlu diganti dengan usaha dan inisiatif sendiri.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton dan Pengarah Eksekutif Perodua itu berkata demikian ketika berucap pada sesi meja bulat Musyawarah Nasional mengenai isu-isu Melayu.

“Kejarlah apa sahaja yang anda mahukan. Jangan tunggu, ini yang diajar oleh ayah saya,” katanya.

Syed Zainal yang kini merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Dagang NeXchange Bhd berkata, masyarakat Melayu sebenarnya bukan sekadar mahukan pemberian percuma, sebaliknya peluang yang adil untuk bersaing dan berjaya.

Menurut beliau, orang Melayu juga tidak seharusnya terus menyalahkan faktor luar terhadap cabaran ekonomi yang dihadapi tanpa menilai kelemahan dalaman komuniti sendiri.

“Jika kita kata kita rasa tak senang (dengan kelemahan kuasa ekonomi orang Melayu), saya rasa tidak lengkap jika kita tidak muhasabah diri.

“Kita mesti sedar, kita juga ada kelemahan. Muhasabah diri sangat penting sebelum melangkah ke hadapan,” kata Syed Zainal.

Dalam perkembangan berasingan, penganalisis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Zainal Abidin Sanusi berkata, sebahagian besar wacana politik nasional tidak semestinya mencerminkan kebimbangan sebenar masyarakat Melayu di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, tidak semua perkara yang tular di media sosial menggambarkan sentimen sebenar rakyat di lapangan.

Menurutnya, masyarakat Melayu juga sering berdepan cabaran daripada sudut pemikiran yang disifatkan sebagai “minda minoriti” walaupun merupakan kelompok majoriti di negara ini.

“Kita sedia tahu kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, dan Raja-Raja Melayu di negara ini, tetapi ramai antara kita bersikap apologetik (dalam hal-hal ini).

“Orang Melayu ini majoriti tetapi kita berfikir, berbincang dan bertindak balas terhadap isu-isu dengan minda minoriti,” katanya.

Sidang meja bulat itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menghimpunkan ahli politik, ahli akademik serta tokoh industri bagi membincangkan hala tuju masyarakat Melayu di tengah kebimbangan berkaitan ekonomi, kepimpinan dan identiti.

+ - reset