TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Selepas akauntan muda, bekas kerani berusia 70 tahun pula dimasyhur sebagai Undang Luak Sungei Ujong

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 11 Mei - Kemelut pelantikan Undang Luak Sungei Ujong terus berlarutan apabila seorang bekas kerani berusia 70 tahun pula dimasyhurkan sebagai penyandang Datuk Klana Petra dalam satu istiadat di Telapak Tua Kampung Chedang di sini pada Ahad.

Abd Rahman Limat diisytiharkan sebagai Undang Luak Sungei Ujong dalam majlis yang dimaklumkan mendapat persetujuan Ibu Soko, Buapak dan Tiang Balai Perut Waris Hulu.

Majlis pemasyhuran yang bermula sekitar jam 2.45 petang itu dimulakan dengan ucapan aluan oleh Buapak Perut Waris Hulu sebelum diteruskan dengan istiadat menandatangani watikah pelantikan.

Difahamkan, Abd Rahman yang merupakan bapa kepada enam anak mempunyai pendidikan tertinggi Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan berasal daripada Suku Biduanda Waris Klana.

Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Datuk Juan Waris Perut di Hulu Luak Sungei Ujong.

Selain itu, Abd Rahman turut didakwa pernah menghantar pencalonan bagi jawatan Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong pada 13 November 2004.

Turut kelihatan di lokasi majlis ialah sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire yang menggunakan tanda kenderaan rasmi Datuk Undang Luak Sungei Ujong.

Sebelum ini, penyandang terdahulu, Datuk Mubarak Dohak dilaporkan dipecat daripada jawatannya dan perkara itu turut diperakui kerajaan negeri.

Mubarak bersama tiga Undang lain bagaimanapun sebelum ini mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 20 April lalu menjelaskan tindakan Mubarak menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz tidak boleh diterima atau diiktiraf.

Menurut beliau, Mubarak ketika itu tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong selain tindakan tersebut tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

"Pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong telah dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.

"Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang(DKU) pada 17 April lepas telah bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10 selaras peruntukan Fasal 14(3) UUTKS," katanya.

Tidak lama selepas itu, Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-Waris Klana Hulu turut melantik seorang akauntan berusia 29 tahun, Muhammad Faris Johari sebagai Undang baharu dalam istiadat kerapatan di Telaga Undang pada 22 April lalu.

Pemilihan Muhammad Faris didakwa dibuat mengikut salasilah pada Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 serta hukum adat ‘patah tumbuh’ termaktub pada Fasal 5 Undang-undang Sungei Ujong.

Berdasarkan Fasal 48 (VI) Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910, pelantikan itu disahkan oleh Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim Tua Lembaga Waris di-Darat yang sah dan diiktiraf kerajaan Negeri Sembilan.

+ - reset