Berita Berita
Azam Baki dedah hidup KP SPRM ada lebih ramai musuh berbanding kawan
KUALA LUMPUR 11 Mei - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengakui jawatan mengetuai agensi penguatkuasaan itu menuntut keberanian tinggi dan menyebabkan penyandangnya mempunyai lebih ramai musuh berbanding rakan.
Menjelang tamat perkhidmatannya pada 12 Mei ini, Azam berkata, pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang pembanterasan rasuah mengajarnya bahawa kepimpinan dalam agensi penguatkuasaan memerlukan ketegasan serta kesediaan membuat keputusan sukar.
“Kalau kita mahu selamat, jangan buat apa-apa, tetapi apabila berada dalam agensi penguatkuasaan, kita perlu berani membuat keputusan walaupun dikritik,” katanya ketika bertemu pengamal media, lapor Bernama.
Azam memulakan kerjaya dalam Badan Pencegah Rasuah pada tahun 1984 sebelum dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mac 2020.
Beliau memegang jawatan tersebut melepasi usia persaraan menerusi tiga pelanjutan kontrak masing-masing selama setahun pada 2023, 2024 dan 2025.
Bermula 13 Mei ini, bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abdul Halim Aman akan mengambil alih jawatan berkenaan.
Mengulas lanjut, Azam berkata, antara cabaran utama dalam bidang penguatkuasaan ialah memastikan siasatan dan tindakan terhadap rasuah serta salah guna kuasa dapat dilaksanakan secara berkesan meskipun jenayah itu semakin kompleks.
“Tiada organisasi di dunia yang bebas daripada masalah termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Akan sentiasa ada isu melibatkan kartel, salah guna kuasa dan kelemahan sistem,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap individu yang diberi amanah memegang jawatan perlu bertanggungjawab terhadap tugas masing-masing.
“Apabila seseorang diberi jawatan, tanggungjawab datang bersama pelantikan itu, tidak boleh ada budaya mengelak tanggungjawab,” katanya.
Menurut Azam, SPRM juga memerlukan pengumpulan risikan serta kerjasama strategik antara agensi bagi memperkukuh siasatan terutama membabitkan kes melibatkan individu berprofil tinggi dan rangkaian terancang.
“Jenayah rasuah sering berlaku dalam kumpulan kecil yang melindungi sesama sendiri, menyebabkan ia lebih sukar dikesan berbanding jenayah seperti rompakan atau kecurian.
“Ada kes yang berlarutan selama bertahun-tahun tanpa dapat dikesan secara langsung,” katanya.
Beliau turut menyeru kerjasama lebih meluas membabitkan golongan profesional daripada pelbagai bidang termasuk perakaunan dan perundangan bagi meningkatkan keberkesanan siasatan.
“Setiap latar belakang membawa perspektif dan kepakaran berbeza yang boleh membantu menjadikan siasatan lebih berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Azam mempertahankan tindakan SPRM menyiasat ahli politik berprofil tinggi walaupun berdepan kritikan daripada pelbagai pihak.
“Tidak pernah dalam sejarah Malaysia sejak SPRM dikenali sebagai BPR, kami menyiasat seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan, sebab itu ada pihak yang tidak senang dengan pendekatan diambil.
“Prinsip saya mudah: Siapa yang bersalah mesti didakwa tanpa mengira kedudukan,” katanya.
Berita berkaitan
May 25, 2026, 11:31 am
Pemandu bas ekspres ditahan guna telefon bimbit hasil penyamaran JPJ Johor
May 25, 2026, 11:27 am
Jemaah haji wanita dari Johor meninggal dunia di Makkah akibat pendarahan otak
May 25, 2026, 11:04 am
Aidiladha: Bekalan lembu, kerbau dan kambing lebih daripada mencukupi untuk ibadah korban
May 25, 2026, 10:46 am
Padah pandu melulu turun bukit, tiga individu parah dalam nahas di Lebuhraya SILK
May 25, 2026, 10:29 am
PGA tumpas cubaan seludup 90 lembu, 100 kambing menjelang Aidiladha
May 25, 2026, 10:21 am
PETRONAS sahkan insiden kerja penyelenggaraan bot libatkan kontraktornya
May 25, 2026, 10:08 am
Wanita sesak nafas ketika daki Gunung Irau, bomba terpaksa papah turun tiga kilometer
May 25, 2026, 8:12 am
